Organisasi rapi PAS lahirkan operasi tersusun

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: PAS mempunyai organisasi tersusun rapi termasuk dalam pengurusan kecemasan dan bencana hingga berupaya menggerakkan jentera operasi banjir berkemahiran.
 
Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Dr Azman Ibrahim berkata, lantaran itulah PAS sedang berada di lapangan banjir Pulau Pinang membantu mangsa yang terlibat dengan banjir.
 
Menurutnya, tenaga bantu PAS dari seluruh negara beroperasi dengan peralatan logistik dan pelbagai barangan bantuan bernilai ratusan ribu ringgit.
 
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian sebagai mengulas misi bantuan banjir Khidmat Malaysia Terengganu ke Pulau Pinang, di sini hari ini.
 
"Biarlah ketua parti lain seronok 'possing' dalam air banjir walau sudah diketahui umum, mereka tak bawa apa-apa pun untuk mangsa banjir. Jentera operasi banjir lagilah tak ada.
 
"Peranan PAS dalam misi bantuan banjir tak siapa boleh nafikan meskipun gambar Presidennya tidak kelihatan mengharungi air banjir di Pulau Pinang.
 
"Kerana bukan semua perkara perlu Dato' Seri Presiden kena buat sebab PAS ada organisasi yang tersusun rapi," ujar beliau.
 
Tambah beliau, anggota misi bantuan banjir Khidmat Malaysia Terengganu ke Pulau Pinang kali ini seramai 50 petugas dengan 14 kenderaan pelbagai muatan barangan makanan dan keperluan mangsa banjir serta lima 'water jet' dibawa untuk kegunaan di sana.
 
Semua barangan maklumnya, akan diserahkan kepada  Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Muhammad Fauzi Yusoff di Markas Tarbiyah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas.
 
Delegasi misi kali ini diketuai Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Muhyidin Abd Rashid dan turut disertai Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Pantai Timur,  Zulkifli Mat Yakim dan Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Sauji Abd Rasid. - HARAKAHDAILY 11/11/2017