Kebajikan tanpa batasan dan sempadan

Berita
Typography
ALOR SETAR: Kesungguhan sukarelawan dan petugas PAS dari luar membantu melancarkan Ops Cuci Banjir Pulau Pinang membuktikan parti itu mendepani kebajikan dan masalah rakyat tanpa mengira batasan dan sempadan.
 
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, semangat berkenaan juga tidak ketinggalan ditunjukkan petugas dari PAS Kedah yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit membantu mangsa-mangsa banjir berkenaan.
 
Maklumnya, operasi bantuan kemanusian itu telah dimulakan beberapa hari selepas banjir melanda negeri tersebut  yang melibatkan keluasan hampir 85 peratus.
 
"Petugas Khidmat Malaysia PAS Kedah memberi tumpuan bantuan dan pembersihan di Tasik Gelugor dan Permatang Pauh.
 
"Kira-kira 200 petugas dari PAS kawasan-kawasan seluruh Kedah hadir bertugas untuk satu-satu masa," ujar beliau.
 
Terangnya lagi, antara bantuan yang diberi tumpuan adalah khidmat pemindahan mangsa banjir, persediaan transit, penyediaan makanan dan khidmat cuci selepas air bah surut.
 
Sehubungan itu ujar Dr Ahmad Fakhruddin, musibah banjir kali ini telah meninggalkan suka duka serta pengalaman antara dua buah negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang.
 
Ujarnya, ukhuwah masyarakat dan mangsa banjir bersama petugas PAS terjalin erat dan meninggalkan kesan mendalam di antara mereka.
 
"Walaupun beberapa daerah di Kedah, turut dilanda banjir terutama di Kuala Muda yang agak teruk, namun khidmat bantuan kepada Pulau Pinang dapat disempurna dengan jayanya," sambungnya lagi.
 
Justeru itu, PAS Kedah mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua sukarelawan yang bertungkus-lumus menginfakkan tenaga dan menganggap semua yang terlibat itu merupakan duta kebajikan PAS terhadap masyarakat. - HARAKAHDAILY 13/11/2017