PAN perlu profesional keluar Wisma Tok Guru

Berita
Typography

PROSES jual beli hartanah yang menempatkan Wisma Tok Guru dianggap PAS sudah selesai biarpun Parti Amanah Negara (PAN) membuat injuksi di mahkamah.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan yang dibuat PAN sesuatu yang pelik.

Lagi pun katanya, sepanjang notis pengosongan bangunan tersebut yang berakhir semalam (12 November) tiada pihak terbabit datang untuk berunding.

"Tiada pihak yang datang untuk berjumpa kita untuk bincang atau memberitahu mahu menyewa. Kita kira mereka tidak berminat.

Dato Che Lah“Oleh itu kita harap mereka bertindak profesional keluar daripada bangunan itu dengan bermaruah.

"Mereka kena ada rasa malu kerana duduk di atas tanah orang," katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Kota Bharu hari ini.

PAN Kelantan sebelum ini dilapor berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap Wisma Tok Guru di Salor.

Pengerusinya, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah memberitahu pertelingkahan hak milik bangunan tersebut hanya membabitkan Adun Salor, Datuk Husam Musa dan parti itu tidak mempunyai kepentingan.

Hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor dijual pemiliknya, Haripah Dollah kepada PAS negeri pada harga RM700,000.

Urusan pindah milik selesai 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluar pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosong dalam tempoh sebulan.

Che Abdullah juga berkata, PAS Kelantan tetap akan mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat di Wisma Tok Guru Dun Salor pada 16 November ini.

Solat hajat yang bermula selepas Maghrib akan diimamkan anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Radzi Nik Mat. – HARAKAHDAILY 13/11/2017