PAS persoal belanja tinggi keraian

Berita
Typography
ALOR SETAR: Kerajaan negeri digesa agar mengamalkan perbelanjaan berhemah terutama ketika mengadakan majlis-majlis keraian tertentu.
 
Mengambil bahagian pada sesi soalan lisan sempena Sidang Dun Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat (Sungai Limau-PAS), membangkitkan hal demikian untuk diambil perhatian oleh Sidang Dewan.
 
Kata beliau, perbelanjaan sehingga RM800,000 ketika meraikan rumah terbuka Menteri Besar Kedah baru-baru ini dilihat agak tinggi memandangkan dalam situasi negara mengalami masalah ekonomi.
 
Beliau juga menarik perhatian ahli sidang berkenaan kekerapan Menteri-menteri Kerajaan Pusat turun ke Kedah termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.
 
"Saya ingin juga jawapan dari pihak kerajaan dari mana perbelanjaan meraikan lawatan mereka diambil dan berapa banyak telah dibelanjakan?" soal beliau.
 
Namun jawapan yang diberi hanya sekadar menyebut kehadiran pemimpin Kerajaan Pusat lebih kepada membawa peluang projek-projek untuk Kedah, tanpa menyebut jumlah yang diperuntukan meraikan kedatangan mereka. - HARAKAHDAILY 13/11/2017