PAS Dun Chukai turun bantu mangsa banjir

Berita
Typography
KEPALA BATAS: Prihatin terhadap mangsa banjir Pulau Pinang, PAS Dun Chukai telah menggerakkan bantuan di negeri itu setelah tiba dengan konvoi dari Chukai di Bilik Gerakan Operasi Banjir Induk Khidmat Malaysia di Pejabat PAS Pulau Pinang, di sini semalam.
 
Ketibaan kumpulan dipimpin Adun Chukai, Hanafiah Mat itu telah disambut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
 
Hanafiah berkata, pihaknya telah bersiap sedia meneruskan agenda yang diarahkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.
 
Maklumnya, pihak beliau akan menemui mangsa banjir di Jelutong dan menyerahkan sedikit barang yang telah dibawa dan jika perlu akan bersihkan rumah mereka.
 
Imbas beliau, PAS Pulau Pinang merupakan antara yang terawal menghantar bantuan ketika Chukai dilanda banjir tahun 2014.
 
"Sumbangan yang kami bawa merupakan 600 beg beras, satu tan gula, satu tan gandum, keropok dan bahan pencuci," tambahnya.
 
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penderma dan petugas di Dun Chukai yang berjaya mengumpul sumbangan dalam masa singkat. - HARAKAHDAILY 13/11/2017