861 unit rumah mampu milik telah diproses

Berita
Typography

SEHINGGA hari ini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik dengan kos RM123.14 juta telahpun diproses untuk pemilikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan Skim Smart Sewa.

SallehenDemikian dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad semasa menjawab pertanyaan Ustaz Sallehen Mukhyi (PAS-Sabak) pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau juga berkata, sehingga kini 220 iaitu sebanyak 26 peratus unit rumah telah sedia untuk disewakan dengan kadar sewaan daripada RM550 sehingga RM650 sebulan.

Manakala sehingga hujung tahun ini sebanyak 111 unit lagi dijangka akan disiapkan dan sedia untuk disewakan manakala bakinya sebanyak 530 unit dijangka dapat disiapkan untuk disewakan mulai tahun 2018 hingga 2020.

“Setiap penyewa dijangkakan akan menerima balik sekurang-kurangnya sebanyak RM10,000 hingga RM12,000 selepas lima tahun,” ujarnya.

Dari itu, katanya kerajaan negeri dijangkakan akan mengembalikan kepada penyewa sebanyak RM9.5 juta bagi membolehkan mereka dan keluarga memiliki kediaman. – HARAKAHDAILY 13/11/2017