Festival Halal Selangor 2017 bermula 29 Nov

Berita
Typography

FESTIVAL Halal Selangor 2017 yang akan diadakan di Taman Tasik Cempaka, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 29 November hingga 3 Disember nanti dijangka meriah dengan pelbagai tarikan yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antaranya hampir 156 gerai jualan dibuka termasuk kira-kira 30 ‘food truck’ yang diadakan sepanjang festival itu berlangsung.

Katanya, festival itu dirasmikan Menteri Besar pada 30 November di pentas utama di Taman Tasik Cempaka.

“Festival ini acara tahunan dan julung kalinya diadakan di luar Shah Alam dengan tujuan mendekati segenap masyarakat dengan membawanya lebih dekat dengan mereka supaya lebih memahami objektif ia diadakan,” ujarnya.

Tambahnya, antara objektif festival itu diadakan adalah untuk mempromosikan logo halal Selangor dan premis atau syarikat yang berjaya diberikan pensijilan halal.

“Selain itu, ia mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap halalan toyyiban atau halal dan baik terutama sekali membabitkan makanan, barang masakan, perubatan atau alat solek,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Katanya, festival anjuran JAIS melalui Bahagian Pengurusan Halal Selangor itu turut menampilkan acara lain seperti Ceramah Santai Ustaz Azhar Idrus, Berbalas Pantun Bertemakan Halal, Kursus Persembelihan Halal Bukan Komesial, Bual Bicara Halal Tanggungjawab Bersama dan Sembang Santai Bersama Heliza Helmi.

“Orang ramai khususnya masyarakat di Bandar Baru Bangi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama memahami konsep sebenar halalan toyyiban,” katanya dipetik SelangorKini.