Hi-Tea Dana PRU14 Setiawangsa suntik semangat

Berita
Typography
SETIAWANGSA: PAS Kawasan Setiawangsa dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan telah menganjurkan majlis hi-tea dalam usaha mengumpulkan dana PRU14 yang dilangsungkan di Surau Al-Ansar, Taman Seri Rampai, di sini kelmarin.
 
Majlis disertai sekitar 150 pendokong dan penyokong PAS khusus dalam Wilayah Persekutuan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan PAS Pusat iaitu Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Menurut Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Abdul Halim Hassan berkata, usaha mengumpulkan dana penting kerana gerak kerja pilihan raya memerlukan kos sangat besar.
 
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Wilayah Persekutuan turut memaklumkan, keperluan dana itu turut meliputi program-program kebajikan direncanakan PAS Kawasan.
 
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohammad Nor dalam ucapannya menyentuh mengenai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah meluas diamalkan.
 
Antaranya ujar beliau, terserlah pada misi bantuan banjir di Pulau Pinang baru-baru ini yang menampakkan usaha PAS dalam perjuangannya tidak sekadar politik undi.
 
Manakala Ustaz Idris pula menyentuh usaha amar makruf nahi munkar dilaksanakan PAS adalah dalam kerangka syariat Islam yang membawa keadilan kepada semua.
 
"Dengan Islam kita semua selamat. Dengan Islam orang Melayu selamat. Dengan Islam orang Cina selamat, orang India selamat, orang Sikh selamat," ujarnya.
 
Pelbagai menu menarik dihidangkan antaranya laksa Kelantan, laksa Pulau Pinang, mi goreng, bihun dan kuih-muih, selain suasana ukhuwah yang melatari suasana majlis. - HARAKAHDAILY 14/11/2017