Akujanji PRU13 tidak tertunai, kini janji lagi

Berita
Typography
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri wajib tunaikan Akujanji BN PRU13 lalu daripada terus menabur janji-janji baharu, demikian gesaan Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang-PAS) sewaktu memberi pandangan berkenaan Bajet Kedah 2018. 
 
Beliau menegaskan, enam projek besar yang pernah dijanjikan sebelum ini satu pun tidak ditunaikan walaupun tempoh lima tahun hampir berlalu.
 
Begitu juga bidasnya, projek ikonik Rubber City yang diuar-uarkan sebelum ini dapat memberi 30,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah, tetapi dalam bajet terbaru terdapat penurunan hanya 15,000 pekerjaan sahaja.
 
Sungguhpun begitu katanya, ia dilihat masih gagal dilaksanakan walaupun menabur janji berulang kali dilakukan.
 
"Nampak bajet kali ini macam hebat, tetapi tradisi sejak tahun 2014 hingga 2017 semua perbelanjaan defisit.
 
"Apabila perlaksanaan, belanja akan melebihi dari yang disebut di dalam bajet," tempelak beliau.
 
Justeru itu, beliau amat terkilan kerana kebajikan rakyat tidak disebut secara terperinci, malah janji-janji dahulu masih juga tidak tertunai.
 
Beliau merujuk kursus perkahwinan percuma, kit ibu bersalin, projek pelancongan Sungai Kedah dan lain-lain yang masih belum dilaksanakan. 
 
Selain itu sentuhnya, keputusan kerajaan negeri membuka semula kaunter bayaran air SADA di Pejabat Pos telah menimbulkan keraguan. 
 
Beliau mempersoalkan kerana disasarkan kepada hanya seribu pemilik akaun sedangkan SADA mempunyai 549,000 pengguna yang mendaftar.
 
"Kalau sebut nak mudahkan rakyat membayar di Pejabat Pos, kenapa tidak kepada semua pemilik akaun?
 
"Saya berharap tindakan ini tidak mempunyai rancangan yang tersirat disebaliknya," tambah beliau. - HARAKAHDAILY 14/11/2017