Tidak wajar patung keagamaan dijadikan hiasan terbuka

Berita
Typography
ALOR SETAR: Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas-PAS), menuntut janji Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Badrul Hisham Hashim (Kuala Nerang-BN) untuk mengubah patung-patung berunsur keagamaan yang terdapat di Taman MBI DesaKu, Padang Meha, Padang Serai.
 
Tegas beliau, janji yang dijamin oleh Exco Pihak Berkuasa Tempatan pada Sidang Dun terdahulu itu bahawa semua patung berkenaan akan diubah selewat-lewatnya pada 30 September 2017 masih belum tertunai. 
 
"Saya dua kali pergi ke sana untuk memantau kedudukan dan kali terakhir saya ke sana pada 9 November lalu, tapi patung-patung itu masih terdapat di situ," ujar beliau.
 
Katanya, pembinaan taman tema yang berunsur keagamaan sepatutnya tidak berlaku di kawasan perumahan di mana majoriti penduduknya adalah orang Islam.
 
Walaupun dikatakan taman perumahan itu milik persendirian, namun kerajaan berhak untuk memastikan perkara yang boleh menggugat ketidaktenteraman atau sensiviti umat Islam tidak berlaku lebih-lebih di tempat awam sedemikian.
 
Siti Ashah menegaskan lagi, binaan seumpama itu tidak dihalang andainya dibina di kawasan majoriti bukan Islam seperti di kampung-kampung orang Siam atau sebagainya.
 
"Sebagai contoh di Kelantan, kerajaan yang diterajui PAS tidak menghalang pembinaan patung-patung sembahan agama lain. Namun pembinaan itu di tempat-tempat yang sesuai iaitu di kawasan atau kampung orang bukan Islam.
 
"Pihak PBT, pejabat Mufti dan lain-lain yang berwajib perlu memantau dan melihat akan hal ini dengan lebih serius," sambungnya. 
 
Lebih mendukacitakan, taman tema berkenaan menjadi tempat tumpuan orang ramai membawa keluarga dan anak-anak bersiar-siar di samping mengabadikan kenangan bergambar beramai-ramai.
 
Situasi berkenaan jelasnya, meninggalkan kesan kurang baik terhadap kanak-kanak terutama yang beragama Islam kerana ia berkait rapat dengan akidah dan pegangan agama itu sendiri.
 
"Oleh itu, saya berharap perkara ini dipandang serius dan jangan hanya menganggap ia sebagai destinasi pelancongan.
 
"Di samping itu, janji yang pernah disebut di dalam dewan yang mulia ini, mesti dikota dan ditunaikan," tegas beliau lagi. - HARAKAHDAILY 14/11/2017