Banjir melanda Jempol, Jabatan Amal siap sedia

Berita
Typography

BEBERAPA kawasan sekitar daerah Jempol dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih lima jam sejak awal pagi ini.

Antara kawasan dinaiki air ialah Kampung Serampang Indah, Kampung Gajah Mati, Taman Anggerik, Batu Kikir dan Jalan Taman Mahsan.

Ketua Kampung Serampang Indah, Amran Mohamad berkata, hujan lebat sejak jam 6 pagi ini menyebabkan berlaku banjir kilat dan sembilan rumah sudah dinaiki air.

“Setakat jam 11 pagi ini, air sudah mencecah hampir satu meter, namun keadaan masih terkawal. Hanya tiga daripada sembilan rumah berpenghuni dan mereka tidak mahu berpindah keluar.

“Bagaimanapun, penghuni lain sudah bersiap sedia kerana bimbang air semakin naik, malah jalan masuk ke kampung juga sudah ditenggelami air dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menutup sementara Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang dan Taman Anggerik di Batu Kikir akibat jalan dinaiki air.

Jurutera JKR Daerah Jempol, Rosdi Abu Bakar berkata, jalan berkenaan ditutup atas faktor keselamatan kerana arus deras.

“Buat masa ini pengguna yang mahu ke Simpang Pertang boleh menggunakan Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah atau Air Hitam melalui Bahau,” katanya.

Dalam pada itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Daharun meminta agar Jabatan Amal Negeri Sembilan bersiap siaga membantu mangsa banjir. Bilik gerakan Jempol adalah di Pejabat PAS Jempol. - HARAKAHDAILY 14/11/2017

JempolB 2

JempolB 3