Ramai tunggu detik solat hajat di Salor

Berita
Typography

RIBUAN penyokong PAS dijangka hadir pada majlis kesyukuran dan solat hajat di pusat khidmat Dun Salor malam Jumaat ini.

Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, lokasi yang menempatkan pusat khidmat Dun terbabit dijangka sendat dengan kehadiran penduduk tempatan dan penyokong PAS.Ustaz Ab Rahman b Yunus

“Penyokong PAS terutamanya golongan veteran yang terbabit secara langsung dengan bangunan hadir bagi menyatakan kesyukuran mereka.

“Duit ringgit dan keringat mereka sebelum ini membolehkan kita melihat bangunan pusat khidmat itu yang dipanggil Wisma Tok Guru seperti yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui di JKR 10 Kota Bharu petang tadi.

Dato Che Abdullah b Mat NawiKelmarin Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, proses jual beli hartanah yang menempatkan Wisma Tok Guru selesai biar pun PAN membuat injuksi di mahkamah.

Lagi pun katanya, sepanjang notis pengosongan bangunan tersebut yang berakhir 12 November lepas, tiada pihak terbabit datang untuk berunding.

"Tiada pihak yang datang untuk berjumpa kita untuk bincang atau memberitahu mahu menyewa. Kita kira mereka tidak berminat.

“Oleh itu kita harap mereka bertindak profesional keluar daripada bangunan itu dengan bermaruah.

"Mereka kena ada rasa malu kerana duduk di atas tanah orang," katanya.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumbuh berkata, persiapan sedang dijalankan termasuk memasang pembesar suara di kawasan serta lorong sekitar bangunan berkenaan.

Program solat hajat dan kesyukuran itu akan bermula selepas Maghrib diisi dengan kuliah agama, solat hajat, solat Isyak dan diakhiri ceramah pemimpin PAS Kelantan.

Manakala dalam perkembangan berkaitan PAN Dun Salor turut menganjurkan solat hajat di Wisma Tok Guru yang diimamkan Datuk Husam Musa malam tadi.

Difahamkan solat itu dihadiri sebahagian besar pimpinan PAN dari seluruh Kelantan. – HARAKAHDAILY 14/11/2017

Pusat Khidmat Dun Salor 3