26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Banjir: Umno jangan jadikan modal politik

Berita
Typography

KERAJAAN negeri akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan campurtangan parti politik di Pusat Pemindahan Banjir seluruh Kelantan tidak berlaku selaras hasrat untuk membantu mangsa.

Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menyedari tindakan tersebut dilakukan bagi mendapat sokongan masyarakat yang dilihat bertentangan dengan maksud sebenar.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat mengariskan asas kepada semua petugas yang paling penting ialah membantu pihak yang terlibat banjir.

"Ini yang paling utama sekali, kita tidak turun membantu bukan untuk pancing undi tetapi kita turun dengan keikhlasan bagi membantu penduduk keluarga mereka yang sedang menghadapi banjir.

"Walau bagaimanapun, kita mengambil kira serta langkah-langkah supaya mereka ini tidak menggunakan tempat-tempat ini untuk bermain politik, pilih bulu dan sebagainya, ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang diungkitkan oleh Adun Kelaboran (PAS), Zaki Ibrahim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kali Ke-13 bagi tempoh penggal ke-5 di Kota Darulnaim di sini pagi tadi.

Zaki berkata, campurtangan politik sering berlaku di Pusat Pemindahan Banjir kerana melibatkan Puteri dan Wanita Umno sebagai Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, lebih teruk lagi, mereka lebih berminat untuk menguruskan bilik simpanan makanan semata-mata berbanding menjaga kebersihan, kebajikan, makanan dan minum mangsa pemindahan banjir.

Terdahulu ketika menjawab soalan dari Tanjong Mas-PAS, Rohani Ibrahim yang meminta Menteri Besar menyatakan langkah bagi menghadapi banjir kata beliau beberapa langkah sudah dilaksanakan.

Ia seperti melakukan pemuliharaan serta penyelenggaraan sungai bagi memastikan aliran air sungai tidak terhalang serta membaikpulih tebing sungai yang mengalami hakisan.

Bagi merealisasikan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Malaysia dan kerajaan negeri berkerjasama bagi melaksanakan program berkenaan dengan peruntukan melebihi RM1.9 juta.

Kerajaan negeri juga telah mengenalpasti sebanyak 699 buat Pusat Pemindahan Banjir yang berupaya menampung lebih 200,000 mangsa banjir, manakala 14 daripadanya mampu menempatkan 2,000 dalam satu masa. – HARAKAHDAILY 22/11/2017