20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Rakyat tidak nikmati faedah Bajet Perak

Berita
Typography
GOPENG: Bajet Perak 2018 hanya bersifat bajet pilihan raya di mana perbelanjaan mengurus terlalu tinggi, sedang pembangunan dirancang tidak pula menguntungkan rakyat, lantaran penilaian tidak dilakukan dengan baik.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Radzi Zainon malah berkata, kehidupan rakyat terus terjerut dan tidak bermakna dengan segala bajet dibentang itu akibat pelaksanaan cukai seperti GST ketika berceramah di Markas Pengkalan Pegoh, Taman Desa Aman, di sini semalam.
 
"Perbelanjaan mengurus ada peningkatan hampir 40 peratus dan ia menunjukkan berlaku beberapa sebab antaranya projek-projek sakit yang tiada berkesudahan.
 
"Contoh paling hampir pembinaan Silver Heritage di medan Gopeng kosnya telah mencecah RM14 juta tetapi setelah melalui proses ubah suai kos tersebut meningkat sehingga RM17 juta," kata Adun Sungai Rapat itu.
 
Menurut beliau, jika kerajaan negeri benar-benar ingin membantu rakyat, pasti Allah S.W.T memudahkan kerana matlamatnya jelas mengutamakan hak yang diberikan, tetapi andai sebaliknya, maka beberapa tanda amaran dari Allah dizahirkan.
 
Beliau mengutarakan contoh di mana negeri Perak antara tempat pendaratan ikan terbesar, tetapi rakyat tidak mampu membeli kerana harganya begitu tinggi, bermakna rakyat tidak dapat menikmati khazanah dari bumi sendiri yang kurniaan Allah S.W.T.
 
"Pernah satu ketika saya meninjau pasar-pasar basah melihat seorang makcik membeli ikan kembong pada mulanya mengambil 3 ekor, namun setelah ditanya harga seekor demi seekor dilepaskan, akhir tidak jadi untuk membeli.
 
"Terdetik dalam hati saya betapa sukarnya kehidupan rakyat dalam situasi ekonomi yang begitu membebankan sedangkan Perak menjadi tempat pendaratan ikan terbesar di Malaysia.
 
"Ini telah disebutkan sendiri oleh Menteri Besar Perak dalam pembentangan bajet, tapi sayang harga ikan melambung tinggi sehingga membuat rakyat termenung untuk membeli ikan temenung," ujarnya.
 
Radzi memaklumkan, dalam sesi perbahasan Bajet Perak 2018, beliau akan menggesa supaya ditetapkan formula terbaik untuk harga ikan yang mampu oleh rakyat, selain terus mengulang persoalan berkaitan peruntukan RM16 juta kepada FAMA yang masih samar tanpa jawapan memuaskan.
 
Yang Dipertua PAS Gopeng itu menegaskan, wakil-wakil rakyat PAS akan berusaha membangkitkan segala isu dalam perbahasan bajet demi membawa suara rakyat kepada pihak kerajaan.
 
Mengulas isu pembinaan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru, beliau dengan lantang menyatakan projek tersebut tidak memberikan pulangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak.
 
"Pelaburan besar dari negeri Perak dalam pembinaan MAPS dengan kerjasama sebuah firma Australia menelan kos RM 600 juta.
 
"Semasa kunjungan dibuat, jumlah pengunjung sehari hanya sekitar 300 pengunjung, bahkan jumlah pekerja sekitar 500 orang dan tidak semua kemudahan dalam kawasan taman animasi ini boleh digunakan.
 
"Untuk masuk sahaja seorang perlu menyediakan RM150 tidak termasuk lagi makan dan minum, ini satu pelaburan yang benar-benar merugikan.
 
"Kos yang diperolehi tidak setimpal dengan kadar perbelanjaan yang digunakan. Hakikat itulah hasil dari cukai-cukai pintu dibayar oleh rakyat dipergunakan," tegasnya. - HARAKAHDAILY 22/11/2017