20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Ke mana anak-anak selepas PASTI?

Berita
Typography
KEMAMAN: Para ibu bapa pelajar PASTI perlu serius memikirkan lanjutan pendidikan anak-anak mereka selepas menamatkan pengajian di pra-sekolah itu dalam memastikan wujud kesinambungan ilmu yang dipelajari.
 
Timbalan Ketua Pengarah Ekonomi PASTI Malaysia, Mior Hassan Sazali Mior Hajar berkata, di PASTI anak-anak diterapkan hafalan al-Quran, hadis dan doa harian, tetapi semua itu boleh 'hilang' pada usia 10 tahun jika tidak diamalkan.
 
"Jadi ke mana anak-anak kita selepas (pengajiannya) di PASTI? Ke sekolah agama atau sekolah kebangsaan," ujarnya melontar renungan ibu bapa ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan PASTI Kawasan Kemaman di Suria Beach Resort, Cherating, di sini semalam.
 
Seramai 65 pelajar menerima sijil graduasi masing-masing, dengan Wan Auni Imtinan Wan Ahmad Marzuki dari PASTI Al-Mahabah, Bukit Kuang dan Che Ku Izz Zayani Che Ku Ahmad Zulkifli dari PASTI Al-Falah, Kampung Jaya menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
 
Manakala Anugerah Pra-Tahfiz pula diberikan kepada Maryam Ahmad Khairuddin dari PASTI Elit Al-Ekhlass 2, Banggol Permai dan Ahmad Ikram 'Arif Mohd Safarul Nizam dari As-Siddiq, Kampung Geliga.
 
Sementara Anugerah Khas Pertandingan 3K PASTI Kemaman dan Anugerah Peningkatan Pelajar PASTI Tertinggi, kedua-duanya diungguli PASTI Elit Al-Ekhlass.
 
Semua penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Mior Hassan dan Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood. - HARAKAHDAILY 22/11/2017