19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Pilih pemerintah hidayah, tolak kerajaan jibayah

Berita
Typography
BALING: Adalah menjadi kewajipan kepada rakyat untuk memilih kerajaan hidayah bukannya jibayah menjadi pentadbir di Malaysia andainya ingin melihat keadilan dan hak-hak Islam terbela.
 
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, kerajaan yang ditadbir oleh pemimpin jibayah hanya akan memikirkan urusan dunia semata-mata terutama berkaitan hal kekayaan dan wang ringgit.
 
Itu sebabnya ujar beliau, apabila berlaku tegahan wanita berhijab dari sebuah hotel antarabangsa, kerajaan tidak melakukan sebarang bantahan walaupun negara ini mempunyai Perlembagaan, Raja dan Ketua Agama.
 
"Hak Islam gugur satu persatu apabila redha demi kerana kerja untuk mencari keperluan, namun kenapa kita membiarkan pihak luar mencabuli hak seorang Islam untuk berhijab dan ini menunjukkan kerajaan sekarang membiarkan Islam dicabar," tegas beliau.
 
Tuan Guru membawa contoh peristiwa yang pernah berlaku di Madinah suatu ketika dahulu, bagaimana keberanian seorang Muslim membunuh Yahudi yang menarik jilbab (menutup muka) Muslimah yang berniaga di pasar. 
 
Walaupun perkara sedemikian nampak kecil hanya sekadar menarik tudung muka bukannya mencederakannya, namun ia dipandang serius kerana melibatkan hak tuntutan Islam, lebih-lebih lagi ketika itu sudah termeterai perjanjian antara Nabi Muhammad S.A.W bersama Bani Qainuqa, Nadhir dan Khuraizah.
 
"Kisah ini hendak memperlihatkan kepada kita, betapa pentingnya kita mempertahankan hak-hak yang dituntut dalam Islam. Namun apabila kerajaan yang ada berdasarkan jibayah maka perkara seumpama itu tidak dipedulikan," sambungnya lagi.
 
Beliau seterusnya mengingatkan hadirin agar merealisasikan pesanan Rasulullah S.A.W iaitu memahami agama dan memahami Al-Quran kerana dengan cara demikian dapat menghasilkan pemimpin yang mentadbir kerajaan secara hidayah dan mendapat perlindungan Allah sama ada dunia dan akhirat. 
 
Sehubungan itu katanya lagi, semua manusia boleh bersatu dan bekerjasama asalkan berpegang teguh dengan tali Allah dan meletakkan prinsip Islam mengatasi yang lain. - HARAKAHDAILY 23/11/2017