26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Umno jadikan rakyat lapar

Berita
Typography
KUALA NERUS: Umno Terengganu berjaya mewujudkan rakyatnya dan pengundi pilihan raya yang lapar bagi mengekalkan Kerajaan BN memerintah negeri.
 
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, mentaliti rakyat Terengganu berbeza dengan pengundi di Kelantan.
 
Menurut beliau, di negeri ini masih ramai kalangan rakyat dan pengundinya yang diistilahkan lapar meski pun mereka banyak duit.
 
"Rakyat Terengganu ini berbeza mentalitinya dengan rakyat Kelantan. Rakyat Terengganu masih lapar ramai lagi. 
 
"Inilah berjayanya Kerajaan Umno-BN Terengganu mewujudkan rakyat Terengganu yang lapar, walaupun duit banyak tetapi lapar. 
 
"Jadi kita (PAS) kena ada kekuatan kewangan untuk tarik seberapa ramai pengundi muda supaya bersama dengan PAS," ujarnya ketika menjawab persoalan Program Chit Chat Anak Muda Dun Bukit Tunggal, di Kedai Awi Nasi Dagang, Pekan Batu Enam, kelmarin.
 
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus, Raja Arizal Raja Arif dan Moderatornya, Ustaz Riduan Abu Bakar.
 
Ustaz Kamaruzzaman menggariskan empat perkara asas kepada anak muda bagi mencapai kemenangan pada PRU14 akan datang.
 
"Pertama, anak muda kita (PAS) kena ada kekuatan dan keyakinan serta kebergantungan kepada Allah S.W.T. Kedua, anak muda kita kena ada keberanian dan setiap Dun kita mahu ada 313 orang Pemuda Istiqamah. 
 
"Ketiga, anak muda mesti ada ilmu. Sekarang ini peperangan (pilihan raya) sudah berbeza. Alam maya banyak memainkan peranan dan anak-anak muda boleh nilai mana yang boleh dipercayai dan mana yang fitnah. 
 
"Kita (PAS) kena beri hujah dan fakta yang tepat supaya anak-anak muda di alam maya boleh ikut kita, insya-Allah. 
 
"Keempat, kena ada sumber kewangan dan pilihan raya sinonim dengan kewangan. Sebab itu, dua Dun yang kita (PAS) tidak menang dan memungkinkan kita menang masa PRU13 lalu kerana faktor utama adalah kewangan," jelasnya kepada hampir 100 hadirin.
 
Sehubungan itu, beliau yakin Dun Bukit Tunggal yang dimenangi oleh PAS pada PRU13 lalu boleh dipertahankan serta menambah majoritinya kelak.
 
Namun katanya, Pemuda PAS Kuala Nerus perlu berhati-hati dengan strategi Umno merampas kembali Dun-dun yang BN kalah pada pilihan raya lalu. 
 
"Dun Bukit Tunggal ini, insya-Allah boleh bertahan dan akan tambah majoriti. Namun begitu, orang muda di Kuala Nerus ini kena berhati-hati kerana Umno ada strategi dia untuk BN menang. 
 
"Strategi dia (Umno), Dun Tepoh dia nok ambil (menang) balik daripada PAS. Kita telah nampak gerak kerja dia yang sangat terancang untuk dia menang," tegasnya.    
 
Menurutnya, PAS mesti menang di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang sebab mahu jaga serta mendaulatkan syariat Islam. - HARAKAHDAILY 24/11/2017