26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

PAS Terengganu rangka persiapan 100 hari

Berita
Typography
KUALA NERUS: PAS Terengganu kini berada dalam keadaan bersiap siaga bukan hanya untuk menghadapi PRU14, bahkan kembali memerintah negeri.
 
Justeru, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, 15 tawaran awal manifesto PRU14, bukti kemampuan parti itu menggantikan Kerajaan Umno-BN.
 
Menurut beliau, PAS telah merangka persiapan bagi 100 hari pertamanya jika parti itu diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya tersebut.
 
"Jika PAS diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 ini, insya-Allah 100 hari pertama kita (PAS) sudah ada 'planning' dia.  
 
"Kita hendak beritahu masyarakat, rakyat Terengganu kita (PAS) sudah bersiap sedia, insya-Allah. Jadi, apa yang ditawarkan dalam 15 manifesto awal itu, kita boleh laksanakan. 
 
"Kita berani tawar dalam benda (perkara) yang hak boleh kita beri. Kita pun tidak berani nok tawar dalam perkara yang kita tidak boleh beri, dibawah keupayaan kita," jelasnya dalam Program Chit Chat Anak Muda Dun Bukit Tunggal, di Kedai Awi Nasi Dagang, Pekan Batu Enam, pada 22 November lalu.  
 
Ustaz Kamaruzzaman turut meyakinkan anak muda bahawa PAS mempunyai perancangan masa depan bagi menjana pendapatan RM1 bilion selepas menjadi kerajaan kelak.
 
Namun, katanya punca pendapatan RM1 bilion itu tidak termasuk dari sumber royalti minyak dan gas negeri Terengganu.
 
"Anggaran pendapatan kita (kerajaan) RM1 bilion apabila kita dapat perintah nanti ada cara dan sumbernya. Ini tidak termasuk dari pendapatan royalti minyak dan gas. 
 
"Sebab, kita (PAS) sudah anggar tidak akan dapat duit royalti minyak itu. Oleh itu, dengan 15 tawaran itu, insya-Allah kita boleh laksanakan dengan izin Allah S.W.T," tegasnya.
 
Berikut adalah 15 tawaran awal Manifesto PAS Terengganu pada PRU14 yang bertemakan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
 
Pertama, mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas kerajaan BN selepas pemerintahan PAS tahun 2004 dan membuka permohonan tanah baharu dengan pemberian geran kekal.
 
Kedua, setiap rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas yang layak berhak mendapatkan satu lot tapak rumah kediaman atau satu unit rumah kediaman.
 
Ketiga, peruntukan caj wad kelas ketiga percuma disemua hospital kerajaan. Keempat, pemberian RM300 untuk pemuda dan pemudi mendapatkan lessen motosikal.
 
Kelima, karnival kahwin kali pertama percuma setiap Dun. Keenam, menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun.
 
Ketujuh, mewujudkan semula Institut Pengajian Tinggi Islam milik negeri menggantikan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza). Kelapan, memberi bekalan air percuma 20 meterpadu kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
 
Kesembilan, menyediakan tabung pinjaman usahawan RM10 juta setahun. Kesepuluh, menubuhkan pusat pemulihan penagih dadah secara holistik dan kesebelas, memperuntukan RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat.
 
Kedua belas, menyediakan kad sejahtera bernilai RM500 setahun untuk golongan berpendapatan rendah setiap keluarga. Ketiga belas, memberi cuti bergaji 30 hari bagi isteri kematian suami.
 
Keempat belas, membuka pusat nursery di setiap jabatan kerajaan negeri dan kelima belas, mewujudkan Bandar Baharu Lestari di setiap daerah. - HARAKAHDAILY 24/11/2017