19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Bajet Perak 2018 tidak seimbang

Berita
Typography
IPOH: Bajet Perak 2018 memperlihatkan ketidakseimbangan ketara apabila terdapat begitu banyak projek sakit dan tergendala, bahkan terlalu menumpu aspek pembangunan infrastruktur semata-mata.
 
Malah, ketidakseimbangan itu ternyata pada pembahagian perbelanjaan di mana sebanyak RM755,597,393 peruntukan untuk mengurus dan RM421,280,000 kepada pembangunan.
 
Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyindir pembentangan oleh Menteri Besar Perak itu sebagai 'Bajet Mesra PRU' ketika sidang medianya, 22 November lalu.
 
"Projek Pam Kerian dan Rancangan Tebatan Banjir walaupun telah dilaksanakan, tetapi masih berlaku kerosakan. Inilah yang memberikan impak kepada perbelanjaan pengurusan terus meningkat.
 
"Antara projek-projek terbengkalai seperti kuarters guru, pembinaan hospital dan lain-lain lagi," senarainya.
 
Utara beliau, pihak kerajaan sewajarnya menyeimbangkan juga tumpuan kepada pembangunan modal insan, agar masyarakat mampu menghargai setiap usaha pembangunan material, serta tidak berlaku aktiviti yang boleh merosakkan bangsa dan agama.
 
Kritiknya, ketandusan pembangunan modal insan dapat dilihat antaranya tiada modul pengurusan institusi masjid yang efektif, bahkan masjid tidak lebih hanya berperanan untuk menunai solat jemaah semata-mata.
 
Justeru itu ujar beliau, akhirnya wujud pelbagai gejala sosial seperti dadah, jenayah rompak, jenayah siber, perjudian haram, pelacuran, bahkan tidak mustahil 9 Dragon juga terdapat di negeri Perak.
 
"Pelbagai insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri mampu membantu rakyat dalam menghadapi kekangan ekonomi, namun pelaksanaan cukai sepergi GST masih menjerut kehidupan rakyat. Diharapkan pemberian insentif tidak bersifat hanya semata-mata demi meraih kepercayaan rakyat dalam PRU akan datang.
 
"Negeri Perak juga merupakan penyumbang kedua sumber 'Security Food' selepas Kedah. Tetapi ia tidak menjadi faktor pertumbuhan ekonomi pada negeri Perak, sebaliknya kita masih lagi mengimport dari negara luar. Negeri Perak sendiri mengimport hasil makanan dari luar walaupun mempunyai hasil bumi sendiri," bidasnya.
 
Mengulas berkaitan usaha penyediaan infrastruktur negeri, beliau berpandangan, kesesuaian kemudahan yang dilakukan itu tidak membantu kesejahteraan rakyat.
 
Terang Radzi, beberapa lokasi yang disebutkan dalam bajet tidak menjadi lokasi tumpuan ataupun penggunaan utama masyarakat setempat.
 
Oleh itu tempelak beliau, ia seolah-olah sekadar untuk memenuhi laporan sahaja tanpa menilai keperluan yang sesuai dengan kehendak setempat. - HARAKAHDAILY 24/11/2017