18
Wed, Sep
20 Artikel Baru

LATAS desak henti penggondolan Bukit Enggang

Berita
Typography
LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat dan PAS Negeri Kedah memandang serius aktiviti pembalakan di kompartmen 13,14 dan 15 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, seluas 500 hektar. Ia mengancam kelestarian alam sekitar, kehidupan manusia, sumber bekalan air dan mengakibatkan banjir lumpur serta kerosakan ekosistem. 
 
Pembalakan tersebut dilesenkan kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan kontraktor projek terbabit adalah Jaentique Sdn Bhd telah dimulai beberapa bulan lalu dan kesannya buruk daripada aktiviti penggondolan Bukit Enggang mula mengancam kehidupan penduduk sekitarnya.
 
LATAS difahamkan bahawa pembalakan tersebut berselindung di sebalik alasan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman 'Timber Latex Clone' (TLC) dan pokok Albizia salah satu spesis balak cepat matang yang akan ditebang dalam tempoh beberapa tahun lagi. Kesudahan kepada penggondolan Bukit Enggang ini adalah aktiviti pembalakan yang lebih kerap dan kehilangan hutan asli selama-lamanya. 
 
LATAS dan PAS Kedah ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah bahawa terdapat kawasan ladang hutan ganti melibatkan tanaman TLC di Gunung Inas, Baling yang diluluskan oleh kerajaan negeri (BN) pada tahun 2007 kepada PT Rubber Sdn Bhd JV Kedah Agro seluas 5,000 ekar belum dibangunkan sepenuhnya. 
 
Pada 2008, selepas PRU Ke-12, projek yang asalnya bermatlamatkan pembalakan itu diubah atas arahan YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak kepada program Ladang Rakyat dan dikelola oleh MBI dan Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan. 
 
Seluas 400 ekar getah ditanam pada fasa satu setelah kayu-kayu balak ditender dan dibawa keluar atas kendalian Jabatan Perhutanan. Di mana 400 peserta dipilih untuk menyertai program itu dan akan menerima dividen mereka setiap 3 bulan. 
 
Kayu-kayu balak yang asalnya dianggarkan bernilai RM12 juta oleh PT Rubber, dicadangkan akan digunakan sebagai modal untuk membangunkan ladang hutan ganti oleh pihak yang mengemukakan permohonan.   
 
Namun, atas kesedaran kerajaan pada masa itu bahawa dasar ini merugikan rakyat dan negeri, YAB MB telah mengarahkan Jabatan Perhutanan membuat tender terbuka terhadap kayu-kayu balak tersebut dan hasilnya telah mencecah lebih RM54 juta dengan nilai premium antara RM13 ribu hingga RM17 ribu sehektar. 
 
Namun begitu, selepas kerajaan bertukar tangan pada 2013, program ladang rakyat telah dibatalkan dan sebahagian besar kawasan itu diserahkan kepada sebuah agensi persekutuan. Sehingga kini, dimaklumkan bahawa baki 4,600 ekar kawasan itu belum dibangunkan sepenuhnya. 
 
Jika benar Kerajaan Negeri Kedah pada waktu ini berhasrat memperluaskan program hutan ganti, mereka sepatutnya menanam TLC dan Albizia di Gunung Inas, sebelum menggondolkan hutan di kawasan lain. 
 
Berdasarkan situasi ini, tindakan penggondolan Bukit Enggang dilihat lebih bermotifkan pembalakan dan wang segera, daripada matlamat membangunkan program hutan ganti. 
 
Kerajaan dan rakyat dikhuatiri lebih menanggung kerugian berbanding faedah jangka panjang daripada penggondolan ini, berbanding beberapa individu yang mengaut laba segera daripada aktiviti pembalakan. Apatah lagi, MBI hanya dikenakan premium RM1,000 bagi setiap hektar kayu balak yang ditebang di Bukit Enggang. 
 
Kerajaan negeri dan rakyat telah menanggung kerugian jutaan ringgit dari sudut hasil premium kepada kantung kerajaan melalui hasil kayu sahaja. Kesan kepada alam sekitar dan kehidupan yang terjejas tentulah lebih besar daripada itu. 
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi LATAS PAS Pusat
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah - HARAKAHDAILY 24/11/2017