18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

SPR dibidas ambil langkah terkebelakang

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan mengambil langkah terkebelakang dalam beberapa isu mengenai daftar pemilih yang mutakhir ini menyusahkan parti-parti politik khususnya pembangkang.
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, SPR mengambil sikap menyusahkan parti-parti politik khususnya bagi mendapatkan salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT).
 
Katanya, pihak SPR tidak lagi membekalkan salinan itu termasuk dalam bentuk digital dan ini amat menyusahkan parti-parti politik untuk membuat tuntutan, semakan dan bantahan.
 
"Parti-parti politik sebelum ini sebenarnya untuk membantu memudahkan kerja-kerja SPR dalam memastikan pemilih dapat membuat tuntutan, bantahan atau semakan dalam tempoh dua minggu selepas senarainya dipamerkan SPR.
 
"Borang-borang (tuntutan dan bantahan) ini kita (pemilih) kena ambil di pejabat SPR. Sepatutnya, parti-parti politik ini membantu pemilih membuat semakan. Tiba-tiba parti-parti politik ini tidak lagi diberi ruang untuk membantunya.
 
"Pada saya, pihak SPR ini telah mengambil langkah terkebelakang dan menyusahkan semua pihak," ujarnya dalam satu pertemuan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, di sini hari ini.
 
Beliau memaklumkan, amalan SPR sebelum ini, parti-parti politik dibekalkan senarai RDPT itu dengan buku dan cakera padat. 
 
Ustaz Ariffin yang juga Adun Alor Limbat memberitahu pihaknya akan bersama-sama pimpinan PAS Pusat untuk bertemu dengan pihak SPR Pusat bagi mendapatkan penjelasannya.
 
Sehubungan itu, Setiausaha SPR, Dato' Abdul Ghani Salleh memaklumkan perkara itu susulan dari Mesyuarat SPR ke-773 pada 28 Mac lalu, yang memutuskan agar hebahan RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat tidak lagi diedarkan kepada parti-parti politik bermula suku tahun pertama 2017. - HARAKAHDAILY 24/11/2017