18
Wed, Sep
31 Artikel Baru

Ibu bapa bantah kehadiran Jamal di sekolah

Berita
Typography

IBU bapa di Pandan Indah membantah kehadiran Datuk Seri Jamal Mohd Yunos, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar atau yang lebih dikenali sebagai Jamal Baju Merah di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, pagi tadi.

Beliau hadir untuk merasmikan program Khatan Perdana 2017 anjuran Pemuda Umno Bahagian Pandan.

Ibu bapa mempertikaikan kesesuaian Jamal untuk satu program di dalam sebuah sekolah kebangsaan dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar memandangkan reputasi Jamal yang banyak terlibat dengan pelbagai kontroversi.

iskandar yb“Dengan itu beliau bukan satu contoh yang baik bagi generasi muda,” kata Adun Chempaka, Datuk Iskandar A Samad.

Sebelum ini, ujar beliau Jamal terlibat dengan tindakan-tindakan ganas seperti memecahkan botol-botol di tempat awam iaitu di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Tambahnya, Jamal juga telah melakukan demonstrasi membawa kereta-kereta jenazah dan mengusung katil-katil di hadapan bangunan tersebut mengkibatkan orang ramai tidak dapat berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan di situ.

“Selain dari itu beliau juga mengadakan demonstrasi di situ dengan hanya bertuala,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Selangor dalam satu kenyataan.

Maka, kata Iskandar wajar para ibu bapa membantah kehadiran Jamal di sekolah tersebut.

“Selain dari itu saya turut mempertikaikan keputusan untuk membenarkan Pemuda Umno Bahagian Pandan menganjurkan program di sekolah itu.

“Sebelum ini kami menerima laporan bahawa seorang guru telah diberikan surat tunjuk sebab kerana kononnya membawa pemimpin kerajaan negeri ke dalam sekolah,” katanya lagi.

Justeru, kata Naib Presiden PAS itu, kementerian dan jabatan yang terlibat perlu adil.

Beliau berkata, jika Umno dibenarkan menganjurkan program di sekolah kebangsaan maka parti-parti lain seperti PAS dan PKR juga perlu dibenarkan.

Tambahnya lagi, sikap pilih kasih dan "double standard" ini tidak sepatutnya dimiliki oleh kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab ke atas generasi yang menjadi harapan negara di masa akan datang.

“Saya juga ingin bertanya kepada mereka, adakah pelajar-pelajar sekarang akan diajar untuk memecahkan botol-botol di tempat awam atau memakai hanya tuala di khalayak ramai?

“Mungkin ini wawasan baru Kementerian Pendidikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2017