20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Penduduk rumah panjang Saeh tuntut hak tanah adat

Berita
Typography

RUMAH Bulin Saeh lebih satu jam perjalanan dari Bandaraya Miri. Penduduk rumah panjang Bulin Saeh, Niah mahukan kerajaan mengiktiraf tanah NCR mereka sebagai tanah leluhur yang mempunyai geran.  Menurut Tuai Rumah Panjai Bulin, keluarga dan nenek moyang mereka telah tinggal di sana sejak zaman penjajahan sehingga kini mereka masih belum diberi hak milik atau geran tanah di tempat mereka tinggal.

Mereka agak kecewa dengan sikap pihak berkuasa memberi Pajakan Sementara (PL) kepada syarikat dengan mudah, sementara mereka telah berkali-kali menuntut hak tanah NCR mereka tetapi status permohonan mereka tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak yang berkenaan sehingga mereka terpaksa menghalang pihak pemaju dari terus menceroboh tanah adat mereka.

Mereka juga tidak puas hati dengan dasar kerajaan Sarawak yang tidak dapat mempertahankan hak tanah adat mereka atau tanah NCR pribumi dari jatuh ke tangan pemaju. Mereka juga tidak setuju dengan keputusan mahkamah persekutuan yang memberi hak tanah NCR rakyat peribumi Sarawak kepada pemaju.

Kami mengesa pihak kerajaan Sarawak bertindak segera meminda Kanun Tanah Sarawak bagi memelihara tanah Hak  Adat Bumiputera (NCR) termasuk tanah adat pinggir bandar orang Melayu Sarawak dari jatuh ke tangan orang asing atau pemaju. Sepatutnya pihak kerajaan memberi keutamaan dan hak kepada penduduk pribumi Sarawak bukannya dengan mudah memberi hak milik kepada orang asing dan yang bukan anak jati Sarawak.

Kerajaan Sarawak jangan memandang ringan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan pemilik asal tanah adat ini kerana mereka ini sudah lama menetap dan tinggal di situ sedangkan pemaju menggunakan tanah NCR mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikir akan nasib yang bakal menimpa penduduk kampung yang tidak memiliki tanah untuk mereka bercucuk tanam dan tempat mereka tinggal.

 Kerajaan disaran membangunkan kawasan penduduk luar bandar yang masih jauh di belakang dari segi pembangunan dan ekonomi. Beri tanah kepada mereka yang memerlukan tempat tinggal dan tempat mereka bercucuk tanam. Jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga rakyat terus hidup dalam kesempitan akibat tanah mereka diberi kepada pamaju.

Sekali lagi kami mengesa pihak kerajaan mengkaji semula kanun tanah Sarawak agar ia tidak merugikan rakyat pribumi tapi hanya menguntungkan pemaju atau syarikat yang hanya mementingkan keuntungan semata. Kerjasama dan tindakan segera dari pihak pemerintah mengatasi masalah ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 27/11/2017