19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

PAS Kedah sudah jangka Amiruddin keluar parti

Berita
Typography
ALOR SETAR: Pengisytiharan Adun Anak Bukit, Dato' Ir Amiruddin Hamzah menyertai Parti Bersatu lewat petang semalam adalah suatu telahan yang telah sedia dijangkakan PAS Kedah, demikian diakui Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
 
Katanya, keputusan yang dibuat oleh Amiruddin memang sudah dijangkakan apabila sebelum ini Adun berkenaan menunjukkan sikap tidak selaras dengan keputusan parti.
 
Selain itu katanya, beliau juga gagal hadir ke program anjuran PAS terutama Muktamar Tahunan PAS Pusat di Alor Setar baru-baru ini.
 
"Bagi pihak PAS Kedah, tindakan itu tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap parti. PAS Kedah tetap fokus kepada gerak kerja terutama untuk menghadapi PRU yang semakin hampir.
 
"Selain itu, PAS akan terus komited mempertahankan kemenangan di Dun Anak Bukit," ujar beliau.
 
Sehubungan itu terang beliau, ahli-ahli PAS secara umumnya telah menyerahkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan mengenai strategi menghadapi BN kepada kepimpinan PAS di semua peringkat.
 
Walau bagaimanapun, Dr Ahmad Fakhruddin mengingatkan Adun Anak Bukit itu berkenaan bai'ah yang dilafazkan atas nama Allah ketika mengisi borang pencalonan mewakili PAS dahulu.
 
Malah tegasnya, bukan sekali Amiruddin berbai'ah, tetapi beberapa kali sejak beliau dipilih menjadi calon PAS sama ada PRU mahupun PRK. - HARAKAHDAILY 27/11/2017