19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Memo PAS Kedah gesa henti pembalakan HSBE

Berita
Typography
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah didesak agar segera memberhentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik di mana telah menimbulkan masalah alam sekitar yang sangat kritikal.
 
Gesaan itu disuarakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika selesai menyerahkan memorandum bantahan berkenaan perkara tersebut di perkarangan Wisma Darul Aman, di sini hari ini. 
 
Maklum beliau, pembalakan yang melibatkan tiga kompartmen iaitu 13, 14 dan 15 seluas 1,000 hektar di hutan simpan berkenaan telah meninggalkan kesan serius terhadap alam sekitar dan penduduk kampung berhampiran.
 
Jelas beliau, kawasan terbabit telah digondolkan, ditebang habis melibatkan kayu-kayu bernilai, sama ada kecil mahupun besar diambil dan diangkut keluar, selain bukit bukau ditereskan untuk ditanam semula bagi projek Timber Latex Clone (TLC) dan Albizia.
 
"Namun kesan akibat pembalakan itu telah menyebabkan air sungai tercemar dengan selut dan lumpur. Sedangkan masyarakat kampung di situ bergantung hidup kepada sumber sungai untuk keperluan harian dan sumber rezeki," ujar beliau lagi.
 
Oleh itu tegasnya, pembalakan yang dikendalikan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) seharusnya mengambil kira kesusahan rakyat dan tidak seharusnya anak syarikat di bawah kerajaan negeri sanggup menzalimi rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan. 
 
Katanya, adalah lebih baik Ladang Hutan Simpan untuk projek TLC itu di pindahkan ke Gunung Inas memandangkan terdapat kawasan seluas 4,000 ekar yang digazetkan untuk tujuan sama pada tahun 2007, tetapi belum lagi dilaksanakan sehingga hari ini. 
 
Justeru itu, beliau menggesa agar semua lesen dibatalkan dan segera berpindah ke tempat lain untuk mengelakkan implikasi lebih buruk terhadap alam sekitar dan penduduk berhampiran.
 
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman memohon Kerajaan Pusat dan Kementerian Alam Sekitar agar segera membuat pemantauan terhadap kawasan yang telah musnah di samping menyelamatkan kawasan-kawasan belum lagi terlibat.
 
Beliau mengharapkan agar nasib 100 keluarga di tiga kampung iaitu Kampung Paya Terendam, Kampung Balong Air dan Kampung Durian Burung mendapat perhatian pihak berwajib memandang sungai yang menjadi sumber air kepada mereka telah tercemar dan musnah sama sekali.
 
"Mereka ini tidak ada sumber air dari SADA. Sungai itulah menjadi sumber air kepada mereka," katanya.
 
Beliau juga mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan pampasan kepada penduduk yang terlibat memandangkan rumah kediaman dan tanaman mereka rosak dilanda banjir lumpur akibat pembalakan tersebut. 
 
Satu himpunan munajat dan doa selamat turut akan diadakan di Kongsi V, Jalan Sungai Senam (berhampiran kawasan pembalakan) pada 28 November ini jam 3.00 petang untuk menggesa pihak terbabit agar segera memberhentikan projek yang membawa malapetaka kepada rakyat ini. - HARAKAHDAILY 27/11/2017