20
Thu, Jun
42 Artikel Baru

PRU14: Tiga penjuru untungkan PAS

Berita
Typography
KEMAMAN: Pertandingan tiga penjuru atau lebih pada PRU14 akan datang tidak menjejaskan PAS malah menguntungkan parti itu, demikian menurut Adun Chukai, Hanafiah Mat.
 
Katanya, sokongan pengundi PAS pada PRU13 lalu masih kekal meski pun dengan kehadiran PAN di mana rakyat peringkat akar umbi masih menaruh keyakinan besar kepada PAS termasuk di kalangan pengundi Tionghua Dun Chukai.
 
"Sekarang ini, jika berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih penyertaan Bersatu, kita (PAS) sangat mengalu-alukanlah. Kita yakin, sebahagian ahli Umno akan memberi undi mereka kepada parti serpihan Umno iaitu Bersatu. 
 
"Undi PAS pada PRU13 lalu pula, tidak akan terusik atau lari dengan kehadiran PAN. Ini kerana, setakat yang kita temui rakyat di peringkat bawahan ini mereka (pengundi) masih menaruh keyakinan yang besar kepada PAS. Begitu juga dengan orang Tionghua," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Khatan Perdana PAS Dun Chukai, di Surau Haji Muda, Geliga Kecil, Chukai Kemaman, di sini kelmarin.
 
Oleh kerana itu kata Hanafiah, di Dun Chukai yang diwakilinya mempunyai ramai orang Cina, hubungan baik itu memberi sedikit kelebihan kepada beliau.
 
"Mereka (pengundi Cina) ini apabila telah mempercayai kepada seseorang, dia akan terus memberi kepercayaan itu dan saya yakin, pengundi Cina akan terus memberi undi kepada saya berlandaskan hubungan baik antara kami dan beberapa program dengan mereka. 
 
"Saya mengalu-alukan pertandingan tiga penjuru dan jika dengan penyertai parti PAN lagilah tidak ada masalah. Di Dun Chukai, PAN tidak ada cawangan dan keahlian," jelasnya selaku  Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Terengganu.
 
Selain itu kata beliau, penolakan rakyat terhadap parti pemerintah Umno-BN semakin ketara sekali gus mengubah persepsi para pengundinya. 
 
"Di Kemaman, perbalahan dalaman parti itu sangat kuat antara dua kem (Ahmad Razif-Ahmad Said) dan menyebabkan rakyat 'fed up' (bosan) dan mereka (pengundi) beranggapan lebih baik pada pilihan raya kali ini diserahkan semula pemerintahan Terengganu kepada PAS sebagai kerajaan yang baharu.
 
"Ketika pemerintahan PAS tahun 1999-2004 lalu, mereka (rakyat) mendapat pelbagai habuan duit ehsan. Jadi apa salah kali ini jika diberi mandat kepada PAS, mungkin akan mendapat lebih lagi duit ehsan itu atau apa-apa pemberian dari Kerajaan Pusat. 
 
"Jika kena perkiraannya, tidak mustahil keempat-empat Dun boleh kita (PAS) menanginya pada PRU14, nanti," tegasnya.
 
Menurutnya, segala permasalahan itu telah mengubah persepsi orang Kemaman untuk mengubah Kerajaan Umno-BN sedia ada kepada kerajaan baharu PAS.
 
Pada PRU13 lalu, pengundi di Dun Chukai seramai 26,715 orang yang terdiri dari kaum Melayu sebanyak 97.32 peratus, Cina (13.98) peratus dan India hanya satu peratus.
 
Manakala, calon PAS, Hanafiah Mat berjaya memperolehi sebanyak 12,457 undi, calon BN, Dato Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mendapat 10,011 undi dengan majoriti PAS berjumlah 2,446 undi. - HARAKAHDAILY 27/11/2017