BN dalam gerhana, tumpang cahaya bulan

Berita
Typography
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah seharusnya membuat penilaian rasional melalui fakta-fakta yang jelas sebelum sewenang-wenangnya mendakwa Kedah berada di dalam gerhana sewaktu pemerintahan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
 
"Terfikir juga, adakah mereka ini tidak tahu sejarah atau sengaja pejamkan mata dari realiti sebenar? Pemimpin Umno-BN jangan mudah lupa bahawa Kerajaan Kedah terdahulu mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara kerana berjaya mengendalikan hasil hutan dengan baik," ujarnya
 
Tegasnya, pengurusan dan pentadbiran yang ditinggal oleh Almarhum masih dapat dirasai oleh rakyat Kedah sehingga ke hari ini di mana dalam tempoh sepenggal sahaja berjaya meninggalkan legasi pembangunan insan yang cemerlang.
 
Tetapi kata beliau, ada di antaranya gagal di sambung serta dilaksanakan oleh pemerintahan sekarang.
 
"Mereka (BN) hanya tumpang untung dengan pembangunan yang ditinggalkan seperti Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil, mewujudkan Mahaad Tahfiz Sains, Hotel Adya di Langkawi.
 
"Malah, saya minta beliau (MB Kedah) celik mata betul-betul, Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai selama 30 tahun, di zaman pemerintahan siapa ia dapat dibangunkan?" sambung beliau.
 
Malah katanya, ramai yang memuji sistem pembinaan Hotel Adya, termasuklah Timbalan Menteri Pelancongan kerana ia mengetengahkan konsep hotel berteraskan syariah.
 
Selai  itu menurutnya, Skim Kafalah sebanyak RM500 yang membantu golongan kurang berkemampuan untuk menguruskan kematian diperkenal dan dilaksanakan semasa pentadbiran Almarhum, namun tidak disambung.
 
Malah tambahnya, pengenalam Khairat Kematian yang konon perlaksanaannya lebih menyeluruh untuk menggantikan Skim Kafalah, gagal beroperasi dengan baik dan ribuan waris si mati tidak memperolehinya.
 
"Rakyat bijak menilai siapakah yang gerhana sebenarnya, BN atau Pakatan pimpinan PAS? PAS yakin dengan prestasi serta idea-idea baru, rakyat akan memandatkan PAS pada PRU akan datang sebagai parti yang menerajui kerajaan," kata Dr Ahmad Fakhruddin lagi. - HARAKAHDAILY 28/11/2017