Rubber City dijanji BN kini jadi ilusi

Berita
Typography
PADANG TERAP: Projek Ikonik Rubber City kononnya akan dibangunkan di Padang Terap hanyalah ilusi dan janji manis BN yang tidak tertunai di mana sehingga kini belum menjadi kenyataan.
 
Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Terap, Ustaz Mohd Azam Abd Aziz, berkata, walaupun penggal ke lima pemerintahan BN di Kedah hampir berakhir, namun janji-janji yang disebut di dalam Manifesto PRU 13 itu, tidak juga dilaksanakan.
 
Menurutnya, setiap kali pembentangan bajet, projek Rubber City hanya dijadikan pemanis sebagai jaminan bahawa projek itu akan dilaksanakan, namun dari satu bajet ke satu bajet, ia hanya terlaksana di kertas sahaja dan tidak wujud di alam nyata.
 
Terang beliau, penduduk Padang Terap khususnya, menagih peluang pekerjaan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri apabila projek berkenaan dibangunkan, tetapi amat malang, rakyat menanti ibarat menunggu buah tidak gugur.
 
"Namun dalam masa yang sama kerajaan terus menawarkan janji-janji baharu. Kerana itu rakyat mesti peka dan jangan biarkan dibohongi dengan janji-janji palsu semata-mata untuk kekalkan kuasa politik mereka.
 
"Rakyat perlu bangun membuat perubahan dan jangan termakan umpan pilihan raya dan akhirnya menanggung sengsara untuk tempoh lima tahun lagi," kata beliau penuh semangat.
 
Justeru itu ujarnya, dakwaan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kononnya kerajaan terdahulu membawa gerhana kepada rakyat, tetapi hakikat sebenar merekalah membawa pelbagai kesusahan kepada rakyat.
 
Tambahnya lagi, Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak semasa menjadi Menteri Besar Kedah dahulu telah melakukan terbaik kepada rakyat di mana selain dapat menyelesaikan masalah ditinggalkan BN, beliau berjaya melaksanakan pelbagai pembangunan yang gagal dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.
 
"Mereka(BN) tidak sedar yang sekarang ini banyak benda yang mereka 'menumpang' tuah hasil 'air tangan' Almarhum," bidasnya.