PAN pertahan Hanipa bahawa ateisme adalah agama!

Berita
Typography
PAN pun guna kaedah matlamat menghalalkan cara?
 
Saya tidak faham mengapa Pengerusi KANUN PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, sekadar menjawab “don’t worry be happy” (jangan bimbang kena gembira) ke atas tulisan saya yang mengkritik beliau di atas tulisan beliau mengenai ateisme.
 
Ini kerana Hanipa Maidin sepatutnya “be worry” (kena bimbang) memandangkan ateisme adalah isu serius yang melibatkan aqidah yang, seperti kata rakan beliau dari PAN, Dr Siti Mariah Mahmud, sangat menggusarkan kerana membabitkan anak-anak muda Melayu.
 
Bagaimanapun, page rasmi PAN yang menggunakan nama Parti Amanah Negara kelihatan cuba membela dan membuat damage control terhadap kenyataan Hanipa Maidin ini dengan menyebut ia adalah perdebatan soal pentafsiran Perlembagaan Persekutuan sahaja. 
 
Kata page rasmi PAN ini, Hanipa Maidin cuma mencabar pentafsiran Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sahaja kerana bagi beliau Perkara 11 tetap memperuntukkan hak terhadap golongan ateis seperti penganut agama lain.
 
Katanya lagi, atiesme perlu ditafsirkan sebagai agama kerana, jika tidak, golongan aties boleh bebas menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam kerana perlembagaan hanya menghalang “penganut agama lain” menyebarkan fahaman mereka kepada orang Islam.
 
Pendirian Hanipa Maidin ini pelik dan bercanggah dengan pendirian pembela golongan ateis lain yang mempertahankan mereka dengan hujah bahawa, walaupun ateisme bukan agama, ia dilindungi kerana kebebasan untuk beragama meliputi kebebasan untuk tidak beragama.
 
Malah, hujah inilah yang digunakan oleh para pemuka Majlis Peguam Malaysia seperti Presidennya, George Varughese, bekas Presidennya, Christopher Leong, dan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusianya, Andrew Khoo, untuk membela golongan ateis ini.
 
Sedangkan kenyataan ini bercanggah dengan satu kertas kerja yang diendorse oleh Majlis Peguam Malaysia sendiri yang berbunyi “pandangan bahawa kebebasan untuk beragama meliputi kebebasan untuk tidak beragama telah ditolak oleh mahkamah-mahkamah negara”.
 
Kertas kerja ini, bertajuk “Jurisdiction Of State Authorities To Punish Offences Against The Precepts Of Islam: A Constitutional Perspective”, adalah tulisan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan masih terpampang di laman web rasmi Majlis Peguam Malaysia.
 
Tidak seperti Hanipa Maidin, mahupun George Varughese, Christopher Leong dan Andrew Khoo, yang sekadar menyuarakan pandangan peribadi, kenyataan Datuk Dr Shad ini jauh lebih berwibawa kerana ia didasarkan kepada keputusan-keputusan hakim di mahkamah.
 
Begitu juga dengan kenyataan Datuk Dr Shad di dalam satu lagi kertas kerja beliau bertajuk “The Constitution Of A Muslim Majority State: The Example Of Malaysia” yang mengisytiharkan dengan jelas dan terang bahawa “Tiada Hak Untuk Ateisme” di Malaysia.
 
Oleh itu, jelaslah betapa kenyataan Hanipa Maidin bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tetap memperuntukkan hak terhadap golongan ateis seperti penganut agama lain adalah tidak betul, walaupun perkara ini cuba dipertahankan oleh page rasmi PAN.
 
Tindakan page rasmi PAN menghujahkan bahawa atiesme perlu ditafsirkan sebagai agama bagi melindungi umat Islam kerana perlembagaan didakwa hanya menghalang “penganut agama lain” menyebarkan fahaman mereka kepada orang Islam adalah melucukan.
 
Tersirat di dalam hujah ini adalah pengakuan bahawa atiesme bukan agama (atiesme tidak mempercayai Tuhan sedangkan agama mempercayai Tuhan) tetapi ia perlu ditafsirkan sebagai agama bagi mencapai maksud tertentu, kononnya bagi melindungi umat Islam.
 
Hujah page rasmi PAN ini adalah hujah mereka yang mengguna pakai kaedah berpolitik matlamat menghalalkan cara: Boleh berbohong (kata atiesme adalah agama walaupun atiesme bukan agama) untuk mencapai matlamat baik (melindungi umat Islam).
 
Jika dilihat kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang ada di pelbagai negeri pun sudah ada peruntukan yang menyatakan kesalahan bukan hanya membabitkan usaha menarik penganut agama Islam kepada agama bukan Islam sahaja.
 
Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam juga adalah satu kesalahan di bawah enakmen begini tanpa mengira ke mana mereka yang meninggalkan agama Islam ini pergi.
 
Tindakan Hanipa Maidin sekadar menjawab “don’t worry be happy” (jangan bimbang kena gembira) ke atas polemik isu ateisme ini, yang menggambarkan ketidakpedulian beliau ke atasnya, adalah tidak selari dengan cogan kata PAN, iaitu “Amanah, Peduli, Progresif”.
 
Begitu juga dengan tindakan page rasmi PAN mempertahankan Hanipa Maidin dalam isu ateisme ini dari sudut yang melucukan yang menggambarkan seolah-olah PAN tidak mempunyai ahli undang-undang dan seolah-olah KANUN PAN tidak berfungsi.