Peminjam PTPTN sedih disenarai hitam kerana tuntut ilmu

Berita
Typography

SATU tindakan yang sangat wajar jika peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenarai hitamkan kerana berjoli tanpa mengambil kira keperluan sebenar serta pendapatan,  kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, paling sedih apabila peminjam disenarai hitamkan kerana meminjam untuk menuntut ilmu.

Ini katanya, tanpa meminjam mustahil mereka mampu menjejakkan kaki ke menara gading demi menjadi insan berilmu

"Keluar dengan segulung ijazah, belum tentu mereka mampu untuk memasuki pasaran kerja dan memiliki pendapatan.

"Tetapi apa yang pasti mereka dikejar oleh PTPTN!" katanya kepada Harakahdaily hari ini.

PTPTN katanya, bukannya berniaga dan hasil dari keuntungan perniagaan digunakan untuk biaya pinjaman dan tambahnya duit yang diberi pinjam itu pun duit rakyat juga.

"Inilah nasib anak bangsa kita, tidak adakah satu kaedah lain yang lebih manusiawi dalam menyelesaikan isu ini? " soalnya.

Padahal katanya, setiap tahun PTPTN menerima suntikan dana yang banyak dari kerajaan.

Sebanyak 586,863 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sehingga 31 Januari lalu. – HARAKAHDAILY 30/11/2017