Sedia pemilihan penagih dadah secara holistik

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Umno-BN seolah-olah berlepas tangan dan tiada usaha yang khusus untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah, demikian tempelak Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
 
"Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan hampir 10,000 orang terlibat dalam penagihan dadah di negeri ini (Terengganu). Statistik menunjukkan 2,664 penagih didaftarkan untuk pengawasan AADK di negeri ini.
 
"Namun berdasarkan penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya terdapat seorang penagih berdaftar, ada empat penagih dibelakang mereka yang tidak berdaftar," ujarnya.
 
Menurutnya, PAS berjanji akan menubuhkan Pusat Pemulihan Penagih Dadah Secara Holistik jika diberi mandat dan memerintah negeri itu selepas PRU akan datang.
 
"PAS mahu mewujudkan sebuah masyarakat dan negeri yang terlaksana padanya nilai-nilai dan hukum hakam Islam. Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah, dadah dan segala jenisnya adalah haram pada sudut syara dan undang-undang.
 
"Oleh itu, PAS akan menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan ini. Penyelesaiannya bukan sahaja dengan undang-undang dan penguatkuasaan tetapi pendidikan dan ketakwaan," jelasnya.
 
Menurutnya, sejarah telah membuktikan kejayaan Islam mendidik dan mengubah insan di zaman jahiliyah yang ketagih arak sehingga sanggup meninggalkan barang larang itu.
 
Beliau yakin, Islam datang dengan penyelesaian terhadap permasalahan arak ketika itu boleh dipratikkan bagi mengatasi penagihan dadah masa kini.
 
Katanya, jumlah tertinggi bilangan penagih yang ditangkap adalah golongan belia yang terlibat dalam jenayah itu dalam tempoh tiga tahun.
 
"(Seramai) 107 orang ditahan pada 2014, 2015 (166) dan 2016 (378) adalah remaja dan belia dewasa dan AADK telah mengenal pasti sebanyak 2,000 sekolah di seluruh negara berada di kawasan berisiko kegiatan penagihan dadah.
 
"Jumlah murid yang dikenalpasti terlibat mencuba dadah bagi tempoh Januari sehingga Julai 2017 ialah 0.03 peratus daripada 4.7 juta orang pelajar," jelasnya. - HARAKAHDAILY 30/11/2017