Sokong solat jemaah sebelum pulang

Berita
Typography

PAS Pahang menyokong penuh saranan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan agar semua sekolah di daerah itu wajib menganjurkan solat berjemaah sebelum pulang.

“Saya menyokong penuh saranan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar yang mewajibkan pelajar solat dahulu sebelum pulang,” ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau berkata, sebagai orang yang beriman sepatutnya mendahulukan Islam mengatasi daripada kebangsaan.

“Apabila kebangsaan didahulukan mengatasi agama, inilah antara sebab kenapa kes jenayah di kalangan remaja semakin menjadi-jadi,” katanya yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Rabu lalu, media melaporkan semua sekolah di daerah Kuantan wajib menganjurkan solat berjemaah sebelum pulang ke rumah masing-masing dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri dalam kalangan murid dan pelajar.

Mohd Razali dilaporkan berkata, sembahyang antara salah satu pengisian utama pihaknya membina karektor warga sekolah khususnya murid-murid agar dapat mencegah daripada melakukan perkara negatif dalam mendepani dunia yang kian mencabar.

“Bagi kecemerlangan murid-murid, saya meletakkan lima fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Dalam pembinaan karektor itu, saya mahu setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkannya. Asalkan tepat kiblat, solat berkenaan boleh diadakan di dewan atau tempat yang bersesuaian,” katanya ketika merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2017