Fitnah Umno bukti tawaran manifesto PAS benar

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Tawaran Manifesto PAS untuk setiap anak Terengganu mendapat hak  memiliki rumah ataupun tanah tapak tempat tinggal, bukan hanya janji khayalan semata-mata.
 
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata PAS pernah meluluskan 60 hingga 70 ribu lot tanah pada zaman pemerintahannya termasuklah salah satu adalah blok V di Ketengah Jaya yang melibatkan 1154 lot.
 
Oleh itu menurutnya, fitnah Umno-BN ke atas beliau adalah bukti bahawa PAS melaksanakan amanah, memberi tanah kepada rakyat.
 
“Isu berkenaan saman fitnah tuduhan terhadap saya sebenarnya adalah rentetan daripada pemerintahan PAS pada tahun 1999 di mana pihak Kerajaan PAS telah melancarkan satu program untuk memberi tanah kepada rakyat Terengganu sebagaimana janji dalam manifestonya (pada PRU10).
 
“Ianya terbengkalai ataupun terhenti tidak lain tidak bukan kerana rasa dengki pihak kerajaan (Umno-BN) melihat perkembangan ini dan supaya benda ini tidak ada seolah-olah (tidak) berlaku apa yang dilakukan oleh PAS kepada anak-anak negeri Terengganu,” jelasnya.
 
Menurut beliau, ini merupakan satu-satunya projek yang menjadi contoh iaitu melibatkan tanah di bawah Akta GSA (Group Settlement Act) kawasan yang melibatkan Felda untuk dikeluarkan dan dibahagikan kepada rakyat.
 
“Beberapa proses yang telah dilalui oleh pihak kerajaan (PAS) mahupun melibatkan (pelantikan) juru ukur swasta, meratakan tanah, tanam batu (sempadan) sudah ambil nama (peserta) dan juga cabut (nombor) lot hanya tinggal tunjuk lot (tanah) sahaja.
 
“Tetapi ketika itu Kerajaan PAS tidak mempunyai usia yang panjang. Pada tahun 2004, Kerajaan PAS sudah hilang kuasa apabila Menteri Besar baharu (ketika itu) telah mengeluarkan surat pada 7 April 2004.
 
“Iaitu pelaksanaan rancang tanah kelompok RTB yang menggunakan juru ukur khidmat swasta ke semua dibatalkan,” ujarnya.
 
Tambahnya, permohonan tersebut diluluskan pada tahun 2003 bersama dengan PT (nombor) sebanyak 1151 lot dan perkara ini telah dimasukkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri. 
 
Katanya, sebagaimana diketahui banyak proses yang melibatkan kepada Exco dan sehinggalah mendapat kelulusan pada tahun 9 Februari 2004.
 
“Pejabat Dungun telah meluluskan projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di kawasan pembangunan (Blok) V Bandar Ketengah Jaya (dan) para peserta telah dipilih untuk diberi satu lot tapak tanah dan diadakan majlis undi lot pada 17 Februari 2004 di Padang Astaka, Ketengah Jaya.
 
“Perkara-perkara seperti ini bukan mainan politik tapi merupakan ada kelulusan dan walaupun bukan keseluruhan yang melibatkan seribu lebih hanya lebih kurang 500 untuk permohonan projek yang pertama. Jadi apabila diluluskan dan pihak kerajaan telah buat undi lot sebagainya.
 
“Dan mereka adalah yang terlibat bukan hanya orang awam masyarakat kampung biasa tetapi terlibat juga untuk generasi kedua Felda,” kata Ustaz Satiful.
 
Kata beliau, pihak kerajaan pimpinan Umno-BN selepas itu telah menghentikan pembahagian lot tanah sedangkan pihak Kerajaan PAS berusaha ketika itu sehingga proses-proses yang dilakukan di pejabat tanah daerah.
 
Justeru, sehinggalah beberapa tahun selepas daripada itu timbulnya isu fitnah yang mengatakan bahawa beliau telah ‘merembat’ duit peneroka Felda.
 
Katanya, ia diterbitkan oleh laman sesawang ‘Terengganu Today’ bersama dengan tuduhan fitnah bahawa calon PAS Dun Paka ‘rembat’ duit peneroka Felda RM1.4 juta dan tuduhan ‘lebai PAS’ tipu dan ‘makan’ duit peneroka.
 
“Beberapa individu munculkan diri termasuk Ketua Cawangan Umno dan Ketua Pemuda Umno yang membuat 'report' polis yang mengatakan kononnya saya ‘rembat’ duit peneroka.
 
“Jadi apa yang berlaku apabila keluar individu seperti ini, maka saya telah mengambil tindakan untuk saman pihak tersebut yang telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka membuat tuduhan fitnah seolah-olah saya mengambil duit tersebut.
 
“Pihak polis melakukan siasatan serta memanggil kami dan alhamdulillah tidak ada apa-apa berlaku sebagamana yang  mereka tuduhkan. Sebab setiap peserta yang diberi (tanah) itu mereka membuat pembayaran sebagaimana bayaran tersebut, mereka buat bayaran untuk bersih kawasan, juru ukur bayaran LMS, bayaran guaman dan sebagainya (kepada pihak peguam),” tegas beliau.
 
Kata Ustaz Satiful lagi, mereka mengaku itu merupakan fitnah dan silap mereka serta membuat pengakuan dan menarik balik segala tuduhan berlaku.
 
“Ini secara langsung telah membersihkan nama saya sendiri dan pihak PAS pada ketika itu, seolah-olah menggunakan kesempatan untuk kepentingan peribadi mengambil duit daripada kalangan peneroka.
 
“Pihak Kerajaan Umno-BN cuba untuk menutup kebaikan dan usaha baik Kerajaan PAS pada ketika itu memberi tanah khususnya kepada anak-anak muda generasi kedua Felda yang sebelum ini hanya dipanggil (dan di) ‘gula-gula’kan sahaja,” kata Ustaz Satiful lagi. - HARAKAHDAILY 4/12/2017