Baitul Maqdis: Kutuk pengisytiharan haram Trump

Berita
Typography

YAYASAN MyAQSA (MyAQSA) mengutuk keras campur tangan pihak asing ke atas Baitul Maqdis ekoran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara yang baharu bagi negara haram Israel.

Pengisytiharaan haram ini sebenarnya bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia bahkan tidak sama sekali menjurus ke arah usaha keamanan.

“Ia akan mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA, Dr Noorazman Samsuddin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, MyAQSA berpendapat bahawa sepatutnya penyelesaian yang terbaik adalah dengan mengisytiharkan kemerdekaan ibu kota al-Quds yang kini dijajah oleh pihak Israel.

“Pengisytiharan haram ini akan mengembangkan lagi penempatan-penempatan haram (illegal settlements) Yahudi di tanah milik rakyat Palestin.

“Pengisytiharan ini juga sebenarnya akan mengulangi kesilapan perjanjian Balfour yang berlaku 100 tahun dahulu di mana pihak yang tidak mempunyai locus standi sama sekali mencampuri hal dalaman sesebuah negara yang mengakibatkan rakyat Palestin menderita sehingga ke hari ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau MyAQSA ingin menyeru kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk sama-sama bersatu bagi menyokong segala usaha ke arah pembebasan Baitul Maqdis.

Tambahnya, jangan terkejut sekiranya pengisytiharaan haram Donald Trump itu akan membawa tindak balas rakyat Palestin iaitu Intifadhah Al Aqsa yang semakin memuncak yang membawa kepada semakin banyak penumpahan darah, semakin banyak kematian dan huru-hara yang akan merebak ke seluruh dunia.

“MyAQSA menyeru untuk kita semua bangkit dan bersatu membebaskan Baitul Maqdis daripada penjajahan rejim zionis Israel,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/12/2017