Perbicaraan kes Wisma Tok Guru Ahad ini

Berita
Typography

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini menetapkan 7 Januari depan bagi pendengaran injunksi erinford yang difailkan Adun Salor, Datuk Husam Musa berhubung Wisma Tok Guru Dun Salor.

Pada prosiding hari ini permohonan asal plaintif secara ex parte telah ditukar kepada pendengaran secara inter parte.

Peguam defendan, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, permohonan plaintif membuat perbicaraan ex parte tidak berjaya bahkan perbicaraan Ahad ini akan melibatkan kedua-dua belah pihak.

“Hakim membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan dikemukakan pasukan peguam Mohd Yasin Yusof,” katanya ketika ditemui di sini.

Perbicaraan itu dikendalikan di hadapan hakim Datuk Ahmad Bache.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan injunksi dikemukakan Husam terhadap pemilikan tanah menempatkan Wisma Tok Guru di Mukim Pendek.

Berikutan itu Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Pengurusan kes itu ditetapkan pada 19 Januari ini.

Hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor sebelum ini dijual pemiliknya kepada PAS Kelantan. – HARAKAHDAILY 4/1/2018