PAS N.Sembilan lapor polis atas Mahathir

Berita
Typography
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan melalui Ketua Penerangannya, Nasarudin Baharudin telah membuat laporan polis ke atas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, di sini semalam.
 
Menurut Nasarudin, laporan itu dibuat berdasarkan ucapan dan kenyataan Mahathir sempena Himpunan Agung Parti Pribumi Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam yang telah mengeluarkan kata-kata bersifat memfitnah PAS.
 
Kata beliau, kenyataan itu antara lain dengan dakwaan bahawa orang yang tidak menyertai PAS sebagai kafir di mana ia boleh menimbulkan provokasi, rasa kurang senang dan menggugat ketenteraman awam.
 
"Serta menjadikan tuduhan kafir sebagai alasan tercetus tragedi Memali 1985. Tuduhan melulu yang bohong dan palsu serta menyanggahi fakta dengan berkata bahawa Ibrahim Libya merancang menggunakan pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan," ujar beliau kepada pemberita usai laporan itu dibuat.
 
Menurut beliau lagi, ucapan itu juga mengaibkan dan menyebabkan rasa tersinggung terhadap banyak pihak, selain sengaja menyeleweng hakikat dengan kecaman bahawa kandungan ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai fatwa yang tidak ditangani tanggungjawabnya oleh para mufti. 
 
Tambah Nasaruddin, ianya juga satu penghinaan biadab dan angkuh kepada penjawat awam serta berunsur hasutan di mana boleh mengundang ketidakharmonian dan membangkit permusuhan yang me memerlukan satu siasatan dijalankan ke atas Pengerusi PPBM itu pada kadar segera. - HARAKAHDAILY 4/1/2018