Pada era Mahathir gas Kelantan di darat ke Songkhla

Berita
Typography

RAKYAT Kelantan dan Terengganu mempunyai nostalgia tersendiri semasa negara berada di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi rakyat Kelantan gas yang dicari gali di perairan negeri tersebut didaratkan ke Songkhla di Thailand, lebih jauh berbanding dengan pantai Bachok.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, begitu juga rakyat Terengganu dinafikan hak ke atas royalti ketika di bawah pentadbiran PAS pada 1999.

Bagaimanapun katanya, pemimpin terbabit masih lagi dicalonkan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri mereka selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

“PH dok bincang hendak lantik orang lama menjadi perdana menteri. Nampak macam tiada orang lain lagi yang layak menjadi pemimpin perdana menteri PH,” katanya pada ceramah di tapak pasar minggu Binjai di Kubang Kerian malam tadi.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kubang Kerian, Mumtaz Md Nawi, naib YDP, Mohd Asri Mat Daud dan Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Ramai penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut sehingga memenuhi ruang hadapan pentas dan sepanjang jalan menghala ke Jambatan Tok Kenali.

Semalam Pakatan Harapan memberitahu akan mengumumkan calon perdana menteri selepas konvensyen nasional pada 7 Januari.

Sedangkan dalam banyak kenyataan sebelum ini disebut Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan. – HARAKAHDAILY 5/1/2018