PAS K. Sentul santuni warga Felda Jengka 4

Berita
Typography
MARAN: PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Sentul giat mendekati masyarakat dalam usaha merealisasikan hasrat PAS menerajui pemerintahan negeri Pahang.
 
Sehubungan itu, majlis gotong-royong dan ziarah serta sumbangan kepada golongan memerlukan telah diadakan di Felda Jengka 4, di sini semalam.
 
Program tersebut telah diketuai Ketua PAS Cawangan Jengka 4, Ustaz Ramli Ismail dan Penyelaras PAS Dun Kuala Sentul, Fazil Azmi Nadzri bersama pimpinan PAS Cawangan.
 
Program sejak awal pagi itu turut disertai masyarakat setempat bersama dalam gotong-royong membersihkan surau di situ dalam suasana penuh harmoni dan tekun.
 
Pihak PAS turut mengadakan ziarah dari rumah ke rumah penduduk yang memerlukan perhatian terutama dari kalangan kurang upaya, miskin dan uzur.
 
Sumbangan turut diberikan dalam usaha meringankan beban ujian dihadapi, selain mendapatkan maklumat untuk tindakan susulan bagi bantuan lain yang berkenaan. - HARAKAHDAILY 8/1/2018