Pembahagian kerusi PH untungkan DAP

Berita
Typography

PEMBAHAGIAN kerusi kalangan parti Pakatan Harapan (PH) semalam dilihat memberi keuntungan kepada DAP kerana parti itu mempunyai pengundi tegar dan kawasan tradisi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, parti lain dalam PH terpaksa bertarung untuk mencari kemenangan.

Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak ada kerusi parlimen kecuali di Pagoh yang mana dimenang atas tiket BN pada pilihan raya umum lepas.

“Begitu juga Parti Amanah Negara pun menang kerana PAS dan bertanding atas tiket PAS. Mereka kemungkinan besar sukar untuk mempertahankan kemenangan pada PRU ke-14.

"Dan akhirnya akhirnya DAP juga yang dominan dengan penguasaan kerusi tradisi mereka," katanya selepas majlis penyampaian watikah Ahli Majlis Pihak Berkuasa tempatan (PTB) Kelantan 2018, di Kelantan Trade Centre Kota Bharu hari ini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad bin Yakob. Hadir sama anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Pada konvensyen PH di Shah Alam semalam Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi parlimen.

Manakala PKR tanding di 51 kerusi, DAP (35 kerusi) dan PAN (27 kerusi).

Pada PRU lepas DAP menguasai 37 kerusi parlimen dan PKR (28). – HARAKAHDAILY 8/1/2018