SESB perlu dikembalikan sepenuhnya kepada Sabah

Berita
Typography
KERAJAAN negeri perlu bertindak untuk memastikan firma utiliti elektrik ulung di negeri ini, iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjadi hak negeri secara sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Sejak sekian lama, pemilikan terbesar SESB ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pegangan syer sekitar 80 peratus dan agak pelik hanya sekitar 20 peratus pegangan syer adalah milik kerajaan negeri. 
 
Walaubagaimanapun, mutu bekalan elektrik masih tidak berada pada tahap yang memuaskan kepada keseluruhan rakyat Sabah. Lebih mengecewakan apabila terdapat dakwa bahawa SESB sedang berhadapan krisis kewangan. Adakah punca kemelut kewangan SESB tidak dapat menjana keuntungan yang banyak disebabkan perjanjian yang dimeterai syarikat itu dengan pihak berkaitan?
 
Ini amat mencurigakan apabila keadaan tersebut didakwa disebabkan perjanjian antara penjana kuasa bebas (IPP) dan SESB yang dikelolakan sendiri oleh Kerajaan BN sememangnya tidak menguntungkan SESB. Jika demikian, kerajaan negeri perlu kembali menilai dan berusaha untuk menambah pegangan ke atas SESB sekurang-kurangnya 60 peratus pegangan syer dan mencontohi langkah proaktif Kerajaan Negeri Sarawak. 
 
Sarawak memegang penguasaan firma utiliti Sarawak Energy di negeri itu dalam menjaga kepentingan berkaitan. Kami berpandangan sekiranya SESB sepenuhnya milik kerajaan negeri maka sudah tentu tindakan mengutamakan keuntungan kepada IPP semata-mata berbanding SESB dapat diatasi. Begitu juga hak penjanaan tenaga diberi sepenuhnya kembali kepada SESB sendiri demi membela keutamaan dan keperluan yang seharusnya menjadi hak milik kepada negeri ini.
 
ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Sabah
11 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 11/1/2018