PAS Kelantan sudah ada senarai calon

Berita
Typography

BIARPUN Pakatan Harapan (PH) sudah mengagihkan kerusi yang akan ditandingi di Kelantan, sebaliknya senarai nama calon PAS pula sudah diserah kepada Majlis Syura Ulama.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, senarai calon PAS di Kelantan sudah diserah kepada Majlis Syura Ulama untuk tapisan.  

“Calon sudah ada. Kita ambil kira daripada kajian awal pilihan raya yang dilakukan sebelum ini.

“Cawangan-cawangan PAS di kawasan masing-masing mencalonkan tiga hingga lima nama calon bagi setiap kerusi yang akan ditandingi,” katanya ketika ditemui di sini.

PH baru-baru ini mengumumkan lokasi yang akan ditandingi setiap parti dalam gabungan tersebut di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

PKR diumum akan bertanding di parlimen Tanah Merah dan Pasir Mas. Parti Amanah Negara (PAN) pula di Kubang Kerian, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok dan Rantau Panjang.

Manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia pula di Pasir Puteh, Jeli, Gua Musang, Ketereh, Machang dan Tumpat.    

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, PAS sudah ada senarai nama calon dan bukan lagi hanya lokasi yang akan ditandingi.

“Amalan di Kelantan 10 hingga 30 peratus akan ada muka baru. Itu amalan biasa. Kita ambil kira siapa yang boleh menang.

“Kita ikut kehendak pengundi berminat dengan siapa. Kalau seseorang itu dikehendaki pengundi biar pun tidak memenuhi kriteria kita juga ambil kira,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2018