PJ Johor terjemah BPMS, hadir Maulidurrasul anjuran Umno

Berita
Typography
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Husin yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Johor telah menghadiri jemputan Majlis Maulidurrasul di Masjid Taman Bukit Mutiara, di sini semalam.
 
Walaupun program tersebut merupakan anjuran bersama Umno Bahagian Tebrau, tindakan Ustaz Abdullah itu membuktikan dokongannya kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan PAS.
 
Gagasan yang berakar daripada takwa itu antaranya menegakkan seruan untuk bertolong-menolong dalam perkara kebaikan di mana sudah tentunya unjuran meneladani Rasulullah adalah kebaikan untuk diperluaskan.
 
Kehadiran Ustaz Abdullah itu sekali gus memberi mesej dakwah betapa setiap zahir kebaikan dilaksanakan mana-mana pihak perlulah digalakkan agar berlaku perubahan dan kecenderungan kepada Islam.
 
Majlis tersebut yang diisi dengan ceramah oleh pendakwah negara, Dato' Ustaz Mohammad Kazim Elias itu turut dihadiri Adun Tiram, Dato' Maulizan Bujang. - HARAKAHDAILY 11/1/2018