Kesal tahun baharu disambut dengan aktiviti maksiat

Berita
Typography
KERAJAAN negeri perlu mempunyai mekanisma bersepadu yang dapat mengawal dan bertindak terhadap kecurangan pihak tertentu atas penganjuran program sosial melampau dan menyalahi hukum Islam. Penganjuran 2018 Magic Countdown oleh Lost World of Tambun antaranya dengan tarian ‘glow in the dark’ dan parti dalam kolam (pool party) secara terbuka termasuk disertai orang Islam, tidak sewajarnya berlaku dan amat menyinggungkan.
 
Walhal aktiviti seumpama pernah juga dianjurkan sempena sambutan tahun baharu terdahulu di mana ia dibantah umat Islam dan NGO-NGO Islam hingga dibatalkan. Kesalnya, penganjur masih mengulanginya tanpa ada tegahan daripada pihak berkuasa. Malah, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria juga menegaskan bahawa sambutan sedemikian adalah haram dan bukan cara Islam menyambut tahun baharu sedemikian itu.
 
Keseronokan sangat bebas seperti itu hanya membuka jalan mungkar kepada maksiat lebih besar yang tentunya cenderung juga kepada pengambilan arak, dadah dan penzinaan. Bahkan ia boleh mengundang kepada pelbagai kegiatan negatif lain termasuk jenayah. Kerana itu, langkah mengekang atau mencegah adalah sebaiknya, sebagaimana kaedah ‘saddu zaraie’ yang diajar dalam Islam sama ada membatal atau dihadkan kepada bukan Islam sahaja.
 
Kerajaan harus menjadikan penganjuran sedemikian sebagai pengajaran terhadap wujudnya kelemahan penguatkuasaan berkaitan yang perlu diperbaiki segera. Selain itu tidakan tegas terhadap penganjur dengan nasihat dan amaran mesti segera diberikan agar ianya tidak berulang. Kepekaan awam dari kalangan NGO, aktivis masyarakat, ibu bapa, guru dan lain-lain penting ke arah membimbing anak muda khususnya dari terjebak kepada perkara tersebut.
 
Kami menasihati anak muda agar menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan mengikut syarak. Dekatkan diri dengan pelbagai kegiatan positif dan berfaedah lagi bermanfaat, serta tidak terikut-ikut darah muda untuk bersosial hingga merosakkan diri dan maruah. Apatah lagi terjebak ke lembah kotor dosa dan noda yang hanya dipenuhi nafsu. Marilah jadikan diri kita berguna untuk agama, keluarga, ummah dan negara, kerana masih ada yang sayang pada kita.
 
USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 13/1/2018