Assabiqun bantu PAS kembali tadbir Kedah

Berita
Typography

HASRAT PAS untuk kembali semula mentadbir Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini tambah mantap dengan dokongan padu golongan assabiqun.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, kehadiran golongan terbabit amat diperlukan bagi mencapai hasrat tersebut.

Katanya, PAS Kedah berada dalam keadaan stabil dengan barisan  kepimpinan yang ada sekarang.

"Sumbangan orang-orang lama amat dihargai dan bagi saya, mereka ibarat ayah yang diperlukan untuk memberi tunjuk ajar kepada generasi sekarang.

“Dan dengan tertubuhnya sayap parti baharu dari kalangan orang-orang lama sedikit sebanyak dapat mendekatkan semula mereka dengan perjuangan parti,” katanya pada majlis Pelancaran Assabiqun Peringkat Negeri Kedah, di Kompleks PAS Kedah di Kuala Kedah semalam.

Menurutnya juga assabiqun ibarat akar yang kuat dapat menahan pokok daripada tumbang.

Katanya juga assabiqun sebelum ini melalui jalan sukar merintis perjuangan sehingga PAS berada dalam arus perdana politik negara sekarang.

Hadir sama Pengerusi Assabiqun PAS Pusat, Subky Abdul Latif dan pimpinan PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 13/1/2018