Lancar konvoi sebar mesej PAS Teraju Pahang

Berita
Typography
LIPIS: PAS Negeri Pahang telah menggiatkan usaha untuk memaham dan meyakinkan rakyat terhadap tekad PAS Teraju Pahang dengan pelancaran konvoi yang diadakan di Cameron Highland, dekat sini semalam. 
 
Pelancaran dan pelepasan program kembara PAS Teraju Pahang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu dan turut dihadiri pimpinan PAS Pahang.
 
"Program yang kita jalankan ini merupakan usaha kita untuk memberi kefahaman dan keyakinan kepada masyarakat khususnya rakyat Pahang bahawa selepas PRU14 ini PAS akan teraju Pahang.
 
"Program ini akan disambung ke seluruh negeri Pahang dan kemuncaknya pada Fastaqim 2.3 di Kerdau, Kuala Krau nanti," ujarnya dalam ucapan perasmian tersebut.
 
Selepas acara pelancaran, semua peserta konvoi berarak mengelilingi Cameron Highlands dan mengedarkan risalah serta stiker 'PAS Teraju Pahang kepada masyarakat.
 
Program tersebut berakhir selepas Asar dengan penyerahan bendera di kawasan sempadan Parlimen Cameron Highlands dengan Parlimen Lipis di Markas PAS Kampung Berchang.
 
Penyerahan bendera PAS Teraju Pahang itu telah disampaikan oleh Yang DiPertua (YDP) PAS Cameron Highlands, Ustaz Abdul Karim Nor kepada YDP PAS Lipis, Ustaz Roslan Harun. 
 
Konvoi Kembara PAS teraju Pahang akan bergerak ke lokasi seterusnya dan dibahagikan kepada tiga kumpulan atau zon iaitu, Pahang Barat (Lipis), Tengah (Bera) dan Timur (Rompin). - HARAKAHDAILY 14/1/2018