Bina sistem Pendidikan Islam rendah menyeluruh di Sarawak

Berita
Typography
LEDAKAN kesedaran terhadap Pendidikan Islam di Sarawak yang semakin berkembang menuntut Kerajaan Negeri Sarawak memberi perhatian lebih serius terhadapnya. Kami menggesa supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi memperkasakan sistem Pendidikan Islam di peringkat rendah. 
 
Dalam mendidik manusia, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia yang terdiri daripada akal, jasmani dan rohani. Dengan itu, Islam mendidik manusia secara menyeluruh meliputi seluruh aspek kehidupan. Sistem Pendidikan Islam merupakan sistem yang menitikberatkan pembentukan sahsiah diri. Kesepaduannya perlu menyeluruh merangkumi modul Fardhu Ain; Aqidah, Ibadah dan Akhlaq serta pendidikan Al Quran, Hadis dan Sirah Nabawiyyah. 
 
Kami menggesa kerajaan negeri memperuntukkan bajet khusus bagi pembinaan Sekolah Rendah Islam atau Kelas Agama Petang yang diwajibkan bagi semua pelajar Islam peringkat sekolah rendah di seluruh negeri Sarawak. Kesan daripada perlaksanaan sistem pendidikan Islam yang menyeluruh ini merupakan harapan melahirkan generasi muda yang faham dan sedar akan tanggungjawab sebagai Muslim. 
 
Ini bakal mengurangkan permasalah sosial serta memperbaiki kualiti individu dan masyarakat. Kita juga mahu melahirkan individu Muslim yang benar-benar faham erti mereka menganut Islam dan menunaikan kewajiban sebagai Muslim terutamanya dalam bab Solat. Ayuh kita fokus untuk pastikan masyarakat muslim Sarawak faham dan  komited menunailan solat fardhu 5 Waktu. 
 
Kami sangat yakin bahawa hanya dengan Islam masyarakat akan selamat dan melahirkan masyarakat sejahtera merangkumi semua kaum, bangsa dan agama. Islam adalah rahmat untuk semua. PAS Sarawak telah mengambil langkah pro aktif dalam perkara ini sejak lebih 10 tahun yang lalu dengan menubuhkan pendidikan Islam pra sekolah iaitu Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Islam (SRITI).
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak
14 Januari 2018 | 26 Rabiul Akhir 1439 - HARAKAHDAILY 14/1/2018