200 warga nelayan dapat perhatian PAS

Berita
Typography

DUNGUN: Kerajaan Umno-BN Terengganu disifatkan tidak demokratik apabila menafikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat PAS di peringkat Dun dan Parlimen.

Sedangkan, kata Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli setiap wakil rakyat yang mewakili PAS membawa misi bagi menyelesaikan masalah rakyat walaupun menghadapi pelbagai kekangan.

Menurutnya, antara masalah besar bagi wakil rakyat PAS di peringkat Dun dan Parlimen kerana ketiadaan peruntukan.

"Bukan sahaja Adun pembangkang yang disekat peruntukan, malah peruntukan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang juga dinafikan oleh Kerajaan Umno-BN," jelasnya ketika berucap pada Majlis Bantuan Nelayan di Surau Pak Malik, Seberang Pintasan, di sini.

Namun, katanya meskipun wakil rakyat PAS dinafikan peruntukan itu, tetapi misi bantuan kepada golongan miskin dapat dilaksanakan.

Menurutnya, pencarian dana diusahakan dipelbagai tempat seperti di surau-surau dan di tempat kuliah agama.

Walaupun tanpa peruntukan, kita (PAS) tetap berusaha mengumpul dana daripada sumbangan di surau-surau dan sebagainya, untuk kita bantu rakyat marhaen walaupun sedikit ujarnya kepada 200 orang nelayan.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Dungun berharap agar warga nelayan mampu menilai kesungguhan wakil-wakil rakyat PAS dalam membantu terutamanya ketika musim tengkujuh.

Katanya, ketika musim cuaca yang tidak mengizinkan para nelayan ke laut, PAS turut mengagihkan sumbangan mengikut kemampuan parti itu.

Majlis itu anjuran bersama Jawatankuasa Parlimen PAS Dungun dan Lajnah Kebajikan Dun Rantau Abang yang turut dihadiri Adun Rantau Abang, Alias Harun.-HARAKAHDAILY 9/2/2018