Fastaqim 2.5 cetus kebangkitan Muslimat Johor

Berita
Typography
SIMPANG RENGGAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menyeru agar Muslimat di seluruh Selatan Tanah Air itu menghadiri Fastaqim 2.5 yang akan berlangsung di Parit Hj Salleh Ros, Parit Raja, 24 Februari depan.
 
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Atiah Ahmad berkata, Muslimat negeri Johor sudah mula mengorak langkah dan kembali bangkit dalam lapangan walaupun pelbagai rintangan dihadapi.
 
"Fastaqim 2.5 JDT adalah medium terbaik untuk menaikkan semangat juang Muslimat ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bakal tiba," ujar beliau semasa pembentangan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) di Markaz PAS Simpang Renggam, di sini kelmarin. 
 
Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman berkata, pihak mereka percaya dan optimis dengan adanya gelombang Fastaqim 2.5 JDT mampu meletakkan PAS di hati rakyat Johor. 
 
Turut sama memberi taujihat pada program tersebut adalah Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Johor, Sabariah Mohd Amin yang antara lain membugar kesegaran untuk hadir ke Fastaqim 2.5 JDT.
 
Katanya, program itu bakal menjadi saksi betapa Muslimat hari ini bukanlah hanya duduk di rumah, tetapi turut menyumbang pelbagai idea dan tenaga di lapangan untuk masyarakat Malaysia terutama kepada wanita. 
 
Tambah beliau, Fastaqim 2.5 akan memberi impak kepada masyarakat dengan menyampaikan agenda Islam sebagai satu penyelesaian masalah rakyat di negara ini. -HARAKAHDAILY 10/2/2018