PAS peka terhadap jaminan keselamatan makanan negara

Berita
Typography
MARANG: Kerajaan Umno-BN nyata tidak bijak dan telah menzalimi rakyat kerana merampas kembali tanah pertanian yang pernah diberi oleh Kerajaan PAS kepada penduduk.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Ustaz Husain Awang berkata, PAS menganugerahkan tiga ekar tanah pertanian kepada rakyat yang mempunyai kelayakan dan keupayaan untuk memajukan tanah semasa pemerintahan PAS pada 1999-2004.
 
"Tetapi Kerajaan Umno-BN merampas kembali tanah itu adalah merupakan kejahatan dan kebodohan mereka. Usaha yang kita (PAS) lakukan itu adalah langkah untuk memajukan pertanian.
 
"Dan mengembleng seluruh tenaga rakyat untuk menyediakan makanan serta bekalan yang mencukupi bagi negara dan rakyat dalam menghadali apa jua situasi yang mungkin akan berlaku," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program pelancaran Sweet Latas di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini semalam.
 
Menurutnya, pertanian adalah satu bidang yang besar bukan sahaja boleh berbakti kepada masyarakat tetapi kemuncak kepada bidang ini adalah merupakan ibadat kepada Allah S.W.T.
 
"Tanggungjawab sesebuah kerajaan ialah menjaga keselamatan negara dan rakyat. Faktor yang membawa kepada keselamatan ialah apabila wujudnya kestabilan dari segi politik.
 
"Dan mempunyai pertahanan dan persenjataan yang mencukupi dan mampu untuk mempertahankan negara," ujar beliau.
 
Tambah Dato' Husain lagi, faktor keselamatan negara termasuk mempunyai makanan yang mencukupi merupakan faktor utama menentukan kesejahteraan dan keselamatan kepada negara dan rakyat.
 
Kerana itu ujarnya, menghasilkan produk makanan dari hasil pertanian juga menjadi sebahagian kepada usaha dimaksudkan di mana PAS sentiasa ke arah langkah tersebut dijayakan.
 
"Untuk membuktikan bahawa kita mempunyai wawasan ke arah membina sebuah negara yang selamat dan bahagia terutama menerusi penyediaan makanan yang mencukupi kepada rakyat.
 
"Dan tahniah kepada Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar (LATAS) berjaya mencipta produk baru dan semoga satu sumber pekerjaan kepada rakyat," tambah beliau lagi. -HARAKAHDAILY 10/2/2018