Anak muda 'kubu' Umno sertai PAS

Berita
Typography
PAYA BESAR: PAS Kawasan Paya Besar menerima anjakan positif menjelang PRU14 apabila 44 anak muda nekad menyatakan sokongan dan memohon menyertai PAS di Kampung Baru Sri Pandan di sini, semalam.
 
Hasrat dan penyerahan borang permohonan keahlian itu diserahkan wakilnya, Mohd Othman Najid, 40 kepada Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.
 
Serahan bersejarah ini adalah sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Kampung Baru Sri Pandan dalam UPU Felda Panching Timur yang diadakan juga di lokasi sama.
 
Mohd Othman berkata, beliau bersama semua rakannya itu sangat yakin bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam mengikut landasan syariat.
 
Tegasnya, walaupun ada parti-parti lain yang pemimpinnya adalah Melayu dan Islam, tetapi masih gagal melaksanakan syariat Islam. 
 
Beliau mengambil contoh PAN yang kononnya berlandaskan Islam, tetapi masih tunduk dengan DAP dan tidak menyokong PAS membentangkan Akta 355 untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
 
Beliau juga hampa dengan Kerajaan Umno-BN kerana setiap hari pelbagai bentuk penyelewengan, korupsi, kroni dan lain-lain didedahkan di media massa.
 
Justeru, Othman menyeru anak-anak muda supaya memilih PAS pada PRU14 kerana yakin PAS mampu mentadbir negara dengan sebaiknya seperti di Kelantan.
 
"Kalau bukan kita anak muda Melayu hari ini yang mencorakkan politik negara, siapa lagi? PAS pasti mendapat tempat di hati rakyat kelak dengan izin Allah," ujar beliau.
 
Sementara itu, Ustaz Tarmizi di dalam ucapannya berkata, walaupun PAS berhadapan dengan caci nista serta fitnah dari pihak lawan, pertambahan ahli PAS semakin meningkat terutamanya anak-anak muda.
 
Beliau juga menyuarakan, walaupun PAS dianggap sebagai parti yang pembawaan Islamnya sangat ketat, tetapi golongan muda tetap yakin untuk memilih PAS tatkala mereka melihat contoh dan kebaikan dibawa oleh ahli-ahlinya.
 
"Perasaan gembira saya pada hari ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana Kampung Baru Sri Pandan ini terletak di dalam salah satu UPU yang menjadi kubu kuat Umno.
 
"Hari ini kita dapat saksikan bagaimana keyakinan "PAS Teraju Pahang" selepas PRU 14 nanti. Kerana itulah kita akan bertanding hampir keseluruhan kerusi parlimen dan dun di negeri Pahang," ujar beliau meluahkan ekspresi kesyukurannya itu. HARAKAHDAILY 10/2/2018